JABATAN Peguam Negara (AC) menafikan tuduhan ia melakukan pendakwaan terpilih bermotifkan politik terhadap mana-mana individu yang dituduh melakukan kesalahan.
Dalam satu kenyataan, Peguam Negara Idrus Harun berkata sebarang keputusan untuk mendakwa mana-mana individu adalah berdasarkan bukti dan fakta yang ditemui dalam siasatan.
Tambahnya lagi, semua pendakwaan yang dibuat tidak dilakukan kerana desakan mana-mana pihak.
“Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperolehi keadilan yang sewajarnya. Ia selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan petang tadi.
“Sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang orang yang didakwa,” tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pembangkang hari ini menuduh kerajaan melakukan pendakwaan terpilih dan menggunakan undang-undang untuk menekan mereka.
Dalam satu hantaran di Facebook, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mendakwa Putrajaya menggunakan saluran perundangan untuk “menekan lawan politiknya”.
Ia susulan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa dengan dua pertuduhan kerana menghasut.
Menurut Muhyiddin lagi, pendakwaan Sanusi juga bertentangan dengan janji pembaharuan tatakelola dibuat Kerajaan Perpaduan. – 19 Julai, 2023.
Komen