Sanusi nafi tak dapat dihubungi polis


Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Noor menafikan dakwaan polis yang beliau tidak dapat dihubungi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2023.

MENTERI Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Noor menafikan dakwaan polis yang beliau tidak dapat dihubungi.

Menurutnya, beliau sudah berhubungan dengan polis sejak malam Isnin dan memberitahu yang beliau tidak mahu ditangkap. 

“Saya nak betulkan sidang media Ketua Polis Negara, dengan penuh rasa hormat saya kepada Tan Sri, sidang media semalam tak betul, saya ada komunikasi dengan pegawai Bukit Aman supaya tidak ditangkap.

“Saya tahu komplot ini nak tangkap dulu kerana kerana tangkapan itu bagi (memberi) satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau tangkap depan orang ramai lagi dia syok, jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah,” katanya seperti dipetik Berita Harian di Alor Setar, hari ini.  

Sanusia memberitahu yang beliau hanya melihat notis mahkamah di laman web Berita Harian.

Tambahnya lagi, beliau mempunyai bukti perhubungannya menerusi WhatsApp dengan pihak polis.

“Saya ada print skrin (tangkap layar), saya print semua itu. Dia (pegawai) kata nak ambil keterangan, nak sambung lagi keterangan. Saya kata keterangan apa lagi? Dia kata nak sambung lagi, saya tanya direct (terus) nak buat tangkapankah? Dia kata nak ambil keterangan.

“Saya kata kalau nak tangkap, beritahu betul-betul sebab saya seboleh-bolehnya tak mahu ditangkap. Pasal saya warganegara yang baik, saya sentiasa beri kerjasama kepada polis. Saya tak pernah lari sekali pun.

“Jadi tak, tak masuk akal nak tangkap saya. Sampai saya habis mesyuarat lebih kurang pukul 11.40 malam saya kata kena balik (rehat). Saya dari pagi ada tiga mesyuarat, dah tak mampu kena balik mandi apa semua dulu,” katanya dipetik berkata.

Sanusi berdepan dua pertuduhan menghasut pada Selasa.

Dalam pertuduhan pertama, beliau dituduh mengeluarkan kenyataan menghasut berkaitan pelantikan menteri besar Selangor.

Bagi tuduhan kedua, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu juga dituduh membuat kenyataan hasutan berkait pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Beliau mengaku tidak bersalah untuk kedua-dua pertuduhan. – 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen