Kumpulan ingkar arahan speaker, muat naik laporan sempadan semula pilihan raya


Noel Achariam Liow Sze Xian

Ahli Engage, Wong Chin Huat memaklumkan ia akan memuat naik lebih daripada 1,000 halaman laporan di laman sesawangnya dalam tempoh beberapa jam akan datang semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 27 Mac, 2018.

SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dalam pembaharuan kawasan pilihan raya akan memuat naik laporan embargo persempadanan semula di laman sesawangnya, sekaligus mengingkari arahan dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia.

Wong Chin Huat, ahli Engage berkata ia akan memuat naik lebih daripada 1,000 halaman laporan di laman sesawangnya dalam tempoh beberapa jam akan datang.

“Ini adalah laporan penting untuk semua rakyat Malaysia membaca kerana apa yang sedang dilakukan dalam proses persempadanan semula tidak betul.

“Laporan itu perlu dibatalkan kerana proses siasatan dalam laporan itu adalah palsu,” katanya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor hari ini.

Wong berkata laporan itu akan dimuat naik di laman sesawangnya dalam masa sejam lagi.

“Selepas sidang akhbar ini, saya akan pergi ke Parlimen dan membayar denda RM1,000.

“Saya melanggar undang-undang secara sedar dan menghormati semua rakyat Malaysia supaya mereka dapat melihat laporan itu,” katanya.

Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya itu diberi kepada ahli Parlimen pada Khamis tetapi mereka dihalang daripada menyiarkan atau mengedarkannya sebelum dibahas dan diluluskan oleh Parlimen esok.

Pandikar berkata dokumen itu, yang hanya boleh didapati oleh ahli Parlimen, tidak boleh diedar atau diterbitkan sehingga dibentangkan oleh kerajaan.

Wong berkata beliau akan melanggar undang-undang supaya semua rakyat Malaysia boleh melihat laporan itu.

“Mengapakah laporan ini diletakkan di bawah embargo kerana ia akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia untuk dua lagi pilihan raya.

“Penguasa sekarang tidak mahu rakyat Malaysia tahu (kandungan sebelum wakil rakyat mereka mengundi esok) jadi saya rasa perlu untuk mendedahkan apa yang saya tahu menerusi dua jilid laporan itu.

“Rakyat Malaysia perlu tahu kesan bahaya dan buruk cadangan itu.”

Wong menyatakan dengan menerbitkan laporan itu, beliau akan melanggar Seksyen 8 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Dendanya adalah RM1,000. Saya akan pergi ke Parlimen untuk bayar denda hari ini.”

Wong juga menggesa semua ahli Parlimen untuk mengundi menentang laporan itu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengatakan keputusan Pandikar untuk mengenakan embargo ke atas laporan itu adalah pengkhianatan kepada demokrasi Parlimen.

Katanya, cadangan persempadanan semula untuk Semenanjung Malaysia sudah didedahkan kepada orang awam dalam pelbagai bentuk sejak 18 bulan lepas.

“Tidak ada alasan kukuh untuk speaker Parlimen menyekat laporan akhir itu kepada rakyat kerana ia memberi kesan langsung kepada hak demokratik mereka untuk memilih wakil mereka di Parlimen.

“Menyekatnya tidak lebih daripada tindakan yang tak berasas,” katanya. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen