LAWYERS for Liberty (LFL) mendakwa penggunaan Akta Hasutan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor adalah tidak tepat kerana ia naratif palsu.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata ini kerana pertuduhan kedua terhadap Sanusi adalah berkaitan dengan kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kami merujuk kepada Anwar mempertahankan penggunaan Akta Hasutan terhadap Sanusi, sebagai perlu kerana ia berkaitan dengan ‘kedudukan dan martabat institusi diraja’.
“Ini adalah kenyataan palsu dan mengelirukan yang disengajakan berkenaan apa yang terkandung dalam pertuduhan terhadap Sanusi,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Anwar berkata masih ada keperluan untuk Akta Hasutan, terutama berkaitan kes menghina atau menjejaskan raja-raja Melayu.
Katanya, undang-undang itu digunakan dalam kes Sanusi kerana beliau didakwa melakukan tindakan menghasut terhadap institusi diraja.
“Prinsip saya adalah kita patut elak menggunakan Akta Hasutan tetapi kes ini menyentuh kedudukan raja.
“Jika ia kritikan terhadap perdana menteri, saya tidak akan guna (Akta Hasutan) sebagai justifikasi untuk pendakwaan.
“Tetapi ini adalah tentang kedudukan dan martabat institusi diraja yang perlu dilindungi,” kata Anwar.
Zaid merujuk kepada Sanusi yang dilaporkan mempertikaikan adakah Yang di-Pertuan Agong menitahkan kerajaan perpaduan ditubuhkan selepas pilihan raya umum November lalu. – 19 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen