Masa depan politik Pita Limjaroenrat ibarat 'telur hujung tanduk'


Pemimpin Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat berdepan kemungkinan digantung atau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand memutuskan untuk merujuk kes pegangan saham media ke Mahkamah Perlembagaan. – Gambar AFP, 19 Julai 2023.

MASA depan pemimpin politik Thailand, Pita Limjaroenrat “ibarat telur di hujung tanduk” memandangkan beliau bakal berdepan pusingan kedua pengundian di Parlimen untuk menentukan sama ada berjaya menjadi perdana menteri atau sebaliknya.

Selain itu, Mahkamah Perlembagaan juga akan bermesyuarat pada Rabu untuk mempertimbangkan sama ada menerima petisyen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa Pita tidak layak bertanding jawatan perdana menteri kerana mempunyai pegangan saham dalam syarikat media ketika mendaftar pencalonannya pada pilihan raya umum 14 Mei lalu.

Pemimpin Parti Move Forward (MFP) berusia 42 tahun itu berdepan kemungkinan digantung atau hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen selepas SPR memutuskan untuk merujuk kes pegangan saham media ke Mahkamah Perlembagaan.

Ketika Parlimen bersidang pada Rabu, Pita dijangka dinamakan semula untuk jawatan itu selepas gagal meraih sokongan lebih separuh daripada 749 ahli Parlimen dwidewan dalam percubaan pertamanya Khamis lalu.

Bagaimanapun, Speaker Wan Muhamad Noor Matha berkata ahli Parlimen akan membahaskan sama ada Pita boleh dicalonkan semula untuk jawatan perdana menteri pada Sabtu sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata beberapa ahli Parlimen tidak menyokong pencalonan semula Pita.

“Ada yang berpendapat usul yang ditolak tidak boleh dikemukakan semula dalam sidang Parlimen yang sama. Ahli Parlimen lain percaya pemilihan perdana menteri bukan usul umum tetapi proses untuk mencalonkan perdana menteri dan oleh itu, Pita layak untuk dicalonkan semula,” tambahnya.

Pada pilihan raya 14 Mei, MFP yang memenangi 151 kerusi dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, mengetuai gabungan lapan parti yang memperoleh 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Pheu Thai memenangi 141 kerusi, parti kedua terbesar dalam gabungan itu.

Walaupun menjadi calon tunggal perdana menteri, Pita hanya menerima 324 undi, manakala 182 undi menentangnya dan 199 berkecuali pada pengundian pusingan pertama.

Seramai 705 ahli Parlimen hadir pada persidangan itu. Hanya 13 daripada 249 senator (seorang meletak jawatan pada Rabu) menyokong Pita manakala selebihnya mengundi menentangnya atau berkecuali.

Pita mendapat sokongan daripada gabungannya untuk dicalonkan semula pada pusingan kedua pengundian.

Bagaimanapun, ini mungkin percubaan terakhirnya untuk memenangi jawatan tertinggi kerana Pita akan memberi laluan kepada Parti Pheu Thai andai beliau kecundang sekali lagi.

Sementara itu, Parti Pheu Thai akan mencalonkan taikun hartanah Srettha Thavisin sebagai calon perdana menteri.

Penasihat kanan Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra berkata parti itu akan menyokong penuh pencalonan semula Pita.

Beliau berkata Srettha, seorang daripada calon perdana menteri Parti Pheu Thai, juga berada pada kedudukan terbaik untuk menjawat jawatan tertinggi itu kerana latar belakangnya dalam perniagaan dan ekonomi.

Paetongtarn, anak kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, turut menjadi calon perdana menteri parti itu. – Bernama, 19 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen