Kerjasama pengundi, parti diperlukan untuk tamatkan politik perkauman


Muzliza Mustafa

Timbalan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata perubahan harus bermula daripada parti Melayu kerana kumpulan etnik itu yang membentuk majoriti penduduk negara ini pada forum di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 Mac, 2018.

AHLI politik daripada parti Melayu, Umno dan Bersatu, serta DAP, sepakat mengakui langkah menamatkan politik berasaskan kaum akan mengambil masa dan memerlukan usaha kedua-dua pihak, pengundi dan parti.

Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu, yang meninggalkan badan pemikir Ideas dan menyertai parti itu baru-baru ini, berkata perubahan harus bermula dengan parti politik, dan dalam konteks Malaysia, ia perlu bermula daripada parti Melayu kerana kumpulan etnik itu membentuk majoriti penduduk negara.

Wacana politik kebangsaan juga sekian lama berkisar mengenai kedudukan orang Melayu.

“(Agenda mesti datang) daripada parti Melayu. Ia sama dengan nasionalis Cina dan Hindu. Perubahan mesti datang daripada diri mereka sendiri.

“Jadi, jika anda benar-benar mahu melihat berakhirnya politik perkauman, atau perubahan arah di mana kita benar-benar boleh membahaskan dasar (bukan politik kaum), sangat penting bagi orang-orang seperti Shahril Hamdan dan ramai lagi dalam Pemuda Umno segera membangkitkannya.

“Itu satu-satunya cara kita boleh mempunyai politik yang lebih sihat di Malaysia, tetapi itu akan mengambil masa,” kata timbalan pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu di forum yang dihadiri kira-kira 200 orang di bandar Kampung Attap, Kuala Lumpur malam tadi.

Umno adalah parti Melayu yang memerintah Malaysia dan pemimpin parti Barisan Nasional, yang memerintah negara sejak kemerdekaan. Bersatu, dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), juga merupakan parti Melayu.

Umno Shahril, ahli exco sayap Pemuda, menjadi panelis, bersama Naib Pengerusi Sosialis Pemuda DAP, Lim Yi Wei.

Wan Saiful memuji Shahril sebagai pemimpin yang sedang meningkat naik dalam Umno, dengan menyatakan generasi lebih tua dalam parti akan berasa sukar untuk menghapuskan politik perkauman.

Shahril menegaskan pengundi sendiri perlu memahami landskap Malaysia dan tidak membentuk pendapat berdasarkan apa yang mereka ketahui selama ini.

“Masalah dengan kita dan dan dengan latar belakang kita ialah kita bersosial atau bekerja dengan ‘jenis Bangsar, Hartamas’. Ia tidak sebenarnya mewakili seluruh negara,” katanya, merujuk kepada pinggir bandar mewah di Kuala Lumpur.

“Ya, ada harapan semakin ramai orang di masa akan datang akan mengundi tidak berdasarkan perkauman. Tetapi di negeri tertentu, masih terdapat trend yang jelas (mengundi) berdasarkan  Bumiputera dan bukan Bumi.

“Perbahasan sebenar (mengenai dasar) belum berlaku lagi. Orang ramai masih mengundi berdasarkan hal sensasi dan pilih kasih,” kata Shahril sambil berkata menamatkan politik perkauman memerlukan langkah “dua hala” yang melibatkan pengundi “memberi galakkan” kepada ahli politik. – 27 Mac, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen