Kertas siasatan Hadi, Guan Eng diserah kepada AGC semalam, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain masih terdapat siasatan yang perlu dilakukan oleh PDRM berhubung isu 3R meskipun ia sudah mencapai kadar 70 peratus lengkap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2023.

KERTAS siasatan berhubung isu 3R (institusi raja, agama dan kaum) terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng diserah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata bagaimanapun masih terdapat siasatan yang perlu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun ia sudah mencapai kadar 70 peratus lengkap.

“Ada lagi siasatan yang kita perlu selesaikan daripada segi pengekalan data dan juga forensik, ini yang kita perlu uruskan lagi. Jadi, itu adalah siasatan yang akan kita teruskan, insya-Allah,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Pada Ahad lepas PDRM mengesahkan siasatan berhubung isu 3R terhadap kedua-dua pemimpin akan diserah kepada pihak AGC selepas kesemua keterangan diambil.

Razarudin juga berkata proses merekod keterangan dilaksana oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman).

Siasatan terhadap Abdul Hadi dilakukan susulan kenyataan beliau di laman Facebook pada 8 Julai lepas yang mendakwa DAP ingin mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran liberalisme.

Lim pula disiasat susulan kenyataan beliau yang mendakwa ‘gelombang hijau’ akan menjejaskan hak agama di Pulau Pinang. – Bernama, 18 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen