Pindaan Akta OKU dibentangkan tahun depan, kata Nancy


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata pindaan Akta OKU akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai, 2023.

PINDAAN Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 hanya dapat dibentangkan di Parlimen tahun hadapan memandangkan masih terdapat banyak cadangan yang perlu didengari daripada pelbagai pihak berkepentingan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Sebelum ini Nancy dilaporkan berkata pindaan akta berkenaan dijangka dimuktamadkan pada Jun 2023 dengan memberi fokus kepada aspek pemerkasaan dan penguatkuasaan bagi menjaga hak golongan itu.

“Kita perlu mendengar daripada mereka (OKU). Akta itu belum muktamad lagi, masih digubal sebab melibatkan agensi dan kementerian lain,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi libat urus bersama pertubuhan sukarela kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan OKU di Putrajaya hari ini.

Sesi libat urus itu dihadiri lebih 100 individu dan pihak berkepentingan antaranya Persatuan OKU Sentral dan Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan input berkenaan akan membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencari penyelesaian terhadap cabaran dan permasalahan yang dihadapi.

Antara input yang diutarakan ialah cadangan menempatkan seorang doktor di Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi urusan diagnosis kanak-kanak berkeperluan khas dan memperluaskan perkhidmatan jurubahasa isyarat seluruh negara.

Nancy berkata pindaaan terhadap Akta OKU itu perlu dilakukan kerana ramai yang menganggap akta sedia ada tidak mencukupi selain aspek penguatkuasaan yang lemah. – Bernama, 18 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen