PBB gesa Israel henti aktiviti petempatan di Palestin


Koordinator Khas bagi Proses Keamanan di Timur Tengah, Nickolay Mladenov memberi amaran yang keganasan serta hasutan terus menyemarakkan lagi kebencian, perpecahan, perasaan tidak percaya dan ketakutan. – Gambar EPA, 27 Mac, 2018.

SEORANG pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin berkata aktiviti petempatan haram Israel terus mengancam kelangsungan penyelesaian dua negara dan menghakis peluang ke arah keamanan di Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua.

Koordinator Khas bagi Proses Keamanan di Timur Tengah, Nickolay Mladenov, berkata meskipun Resolusi 2334 PBB menggesa Israel “segera menghentikan sepenuhnya segala aktiviti petempatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan menghormati semua obligasi perundangannya, rejim itu tidak mengambil sebarang langkah untuk berbuat demikian.

Ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai situasi di Timur Tengah dan pelaksanaan Resolusi 2334, Mladenov memberi amaran yang keganasan serta hasutan terus menyemarakkan lagi kebencian, perpecahan, perasaan tidak percaya dan ketakutan.

“Serangan ganas ke atas penduduk Israel dan percubaan membunuh perdana menteri Palestin menggambarkan risiko ketidakstabilan yang kian meningkat serta pemerkasaan kumpulan radikal dan ekstremis. Penggunaan kekerasan oleh Israel perlu ditentukur,” katanya.

Mladenov juga berkata beliau amat bimbang dengan keadaan usaha kolektif PBB ke arah keamanan yang berlanjutan.

Beliau berkata konsensus antarabangsa mengenai isu status muktamad yang sekian lama menjadi pegangan, termasuk berkaitan Baitulmaqdis dan pelarian, serta prinsip PBB perlu kekal menjadi kerangka panduan bagi satu proses yang dirunding ke arah mencapai matlamat akhir iaitu penyelesaian dua negara.

Oleh itu, penyimpangan daripada kesemua prinsip ini adalah berbahaya.

Katanya, Resolusi 2334 diterima pakai pada 23 Disember 2016. Ia membabitkan isu petempatan Israel di “wilayah-wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur.”

Resolusi itu diluluskan menerusi undian 14-0 oleh anggota UNSC.  

Empat anggota UNSC yang mempunyai kuasa veto iaitu China, Perancis, Rusia dan United Kingdom, mengundi menyokong resolusi itu manakala Amerika Syarikat mengambil sikap berkecuali.

Resolusi itu menyatakan aktiviti petempatan Israel adalah “pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan” dan tidak “sah dari segi perundangan.”

Ia mendesak Israel menghentikan aktiviti petempatan serta memenuhi obligasinya sebagai kuasa yang menduduki. – Bernama, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen