Ukraine teruskan perjanjian bijirin walau tanpa jaminan Rusia


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata negaranya akan meneruskan perjanjian bijirin bersendirian walaupun tanpa jaminan keselamatan, susulan Rusia menarik diri. – Gambar fail AFP, 18 Julai 2023.

UKRAINE umum akan meneruskan perjanjian bijirin bersendirian walaupun tanpa jaminan keselamatan, berikutan Rusia menarik diri daripada perjanjian itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Walaupun tanpa Rusia, segala usaha mesti dilambil supaya kita boleh menggunakan koridor Laut Hitam ini,” kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kepada wartawan pada Isnin, menurut kenyataan jurucakapnya Serhiy Nykyforov di Facebook.

Menurut Zelensky, pemilik kapal bersedia untuk belabuh di pelabuhan Ukraine bagi penghantaran bijirin.

Perjanjian antara Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berkuat kuasa tanpa Moscow, katanya.

Hanya perjanjian berasingan antara Rusia, Turkiye dan PBB ditamatkan.

Namun, Zelensky tidak menyatakan bagaimana kapal dan barangan mereka boleh diinsuranskan di zon perang.

Tempoh perjanjian yang membenarkan eksport bijirin dari Ukraine yang dilanda perang telah pun tamat pada Isnin selepas disambung beberapa kali.

Kremlin sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hatinya dengan kaedah perjanjian itu dilaksanakan.

Selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula hampir 17 bulan lalu, eksport menggunakan laluan laut pada mulanya dihentikan atas sebab keselamatan, namun disambung semula menerusi eksport bijirin yang membantu menurunkan harga makanan di seluruh dunia. – Bernama, 18 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen