Kim Jong-un mungkin berada di Beijing


Pegawai polis berkawal berhampiran Dataran Tiananmen di Beijing semalam ketika spekulasi mengatakan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada di ibu kota China itu. – Gambar AFP, 27 Mac, 2018.

BEIJING dikawal ketat hari ini dengan spekulasi meluas tersebar bahawa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un melakukan kunjungan mengejut, selepas dilaporkan tiba dari Pyongyang menaiki kereta api khas dan disambut oleh pengawal kehormat.

Jika sah, ia akan menjadi lawatan ke luar negara kali pertama bagi Jong-un sejak memegang tampuk kuasa pada 2011 dan lawatan seumpama itu dilihat sebagai satu perkembangan yang amat signifikan, yang mengasingkan antara Jong-un dengan presiden Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Sesetengah penganalisis mencadangkan China – satu-satunya sekutu terbesar Korea Utara diketepikan oleh tawaran dari Pyongyang kepada Seoul dan Washington, tetapi lawatan Jong-un ke Beijing akan mengukuhkan kembali hubungan diplomatik mereka.

Bill Bishop, penerbit Sinocism China Newsletter, berkata Presiden Xi Jinping mungkin akan bertemu Jong-un sebelum sidang kemuncak dengan Presiden Donald Trump yang akan berlangsung pada Mei.

“Mereka bimbang diketepikan, dengan Korea Utara secara langsung memutuskan urus niaga dengan Amerika yang tidak semestinya menjejaskan kepentingan China,” katanya.

Kemungkinan lawatan itu kali pertama dilaporkan agensi berita Jepun, Kyodo yang memetik sumber sebagai berkata pegawai kanan Korea Utara tiba di ibu kota China itu semalam. – AFP, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen