Indonesia, EU muktamadkan rundingan IEU, CEPA pusingan ke-15


Pada 2022, jumlah nilai perdagangan antara Indonesia dan EU mencecah AS$33.2 bilion yang mana komoditi eksport utama negara itu ke EU ialah minyak sawit, arang batu dan kasut.– Gambar EPA, 18 Julai, 2023.

INDONESIA dan Kesatuan Eropah (EU) muktamadkan Rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Indonesia-Kesatuan Eropah (IEU-CEPA) kali ke-15, lapor Agensi Berita Antara.

Pasukan rundingan Indonesia diketuai oleh Pengarah Rundingan Dua Hala Kementerian Perdagangan, Johni Martha, manakala pasukan EU diketuai oleh Timbalan Ketua Unit Suruhanjaya Eropah bagi Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, Filip Deraedt.

“Kedua-dua pihak telah berusaha sehabis baik dalam mencari penyelesaian kreatif kepada isu-isu mengenai rundingan IEU-CEPA.

“Selepas pusingan terakhir di Brussels, kami optimis bahawa kemajuan besar dalam rundingan itu akan dicapai,” kata Djatmiko Bris Witjaksono, Ketua Pengarah Rundingan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (16 Julai), kedua-dua pihak telah bersetuju dengan Kerjasama Ekonomi dan Pembinaan Kapasiti (ECCB), menjadikannya bahagian ketujuh IEU-CEPA yang berjaya dicapai setakat ini.

“Selain melengkapkan bahagian kerjasama ekonomi, kumpulan lain juga telah terlibat dalam perbincangan yang membina minggu ini,” kata Martha.

Beliau menyatakan bahawa rundingan pusingan ke-16 dijangka berlangsung menjelang akhir 2023 di Brussels, Belgium.

“Dijangka Indonesia dan Kesatuan Eropah berkongsi komitmen yang sama untuk mengekalkan momentum positif hasil kemajuan yang dicapai dalam pusingan ini.

“Saya juga menggalakkan komunikasi rapat dan mesyuarat antara sesi oleh semua pihak yang terlibat jika perlu,” katanya.

Pada 2022, jumlah nilai perdagangan antara Indonesia dan EU mencecah AS$33.2 bilion. Walaupun eksport Indonesia ke EU mencecah AS$21.5 bilion, import Indonesia dari EU bernilai AS$11.7 bilion.

Beberapa komoditi eksport utama Indonesia ke EU pada 2022 ialah minyak sawit, arang batu dan kasut. – Bernama, 18 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen