Taufan Talim bawa hujan lebat, angin kencang ke selatan China


Taufan Talim dijangka melanda kawasan pantai antara Dianbai di Guangdong dan Wenchang di Hainan pada Isnin malam dengan membawa angin kencang serta hujan lebat ke kawasan pantai di selatan China. – Gambar AFP, 17 Julai, 2023.

TAUFAN Talim dijangka melanda kawasan pantai antara Dianbai di Guangdong dan Wenchang di Hainan pada Isnin malam dengan membawa angin kencang serta hujan lebat ke kawasan pantai di selatan China, lapor Xinhua.

Angin kencang dijangka melanda bahagian Laut China Selatan, Guangdong, Guangxi dan Hainan dari 2 petang Isnin hingga 2 petang Selasa, manakala hujan lebat akan melanda bahagian Guangdong, Hainan dan Guangxi, kata Pusat Meteorologi Kebangsaan hari ini.

Pusat itu memperbaharu amaran jingganya yang merupakan tahap amaran kedua tertinggi untuk Taufan Talim hari ini manakala Pentadbiran Meteorologi China menaikkan respons kecemasannya untuk taufan kepada Tahap III.

Pusat itu menasihatkan persediaan taufan kecemasan dan langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan bencana geologi serta menasihatkan penduduk tempatan dan pelancong untuk tinggal di tempat yang selamat. – Bernama, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen