KETUA Penerangan Muda Luqman Long dicalonkan untuk bertanding di kerusi DUN Bandar Terengganu ketika parti itu mengumumkan nama lima lagi calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Di Selangor, Muda menamakan empat calon iaitu Al-Hafiz Ikhwan (Dusun Tua), Dr R Siva Prakash (Kuala Kubu Bharu), Afriena Shaqiera Sariff (Sungai Kandis) dan Dobby Chew (Seri Setia).
Seorang lagi calon Muda, Priyankaa Loh akan bertanding di kerusi Jerejak di Pulau Pinang.
Al Hafiz, 33, adalah arkitek, pengerusi Muda Selangor dan ketua Parlimen Hulu Langat.
Siva, 40, adalah ahli akademik dan timbalan pengerusi Muda Selangor yang juga ketua Parlimen Hulu Selangor.
Chew, 33, adalah ahli jawatankuasa eksekutif hak asasi manusia Muda dan mengetuai Biro Hak Asasi Manusia.
Priyankaa, 27, adalah seorang guru tuisyen kepada sebuah sekolah di Itali dan mengajar secara maya, selain ketua Biro Pendidikan Muda Pulau Pinang dan Ketua Parlimen Bagan.
Afrien, 26 tahun merupakan graduan jurutera mekanikal dan bendahari Selangor.
Minggu lalu, Muda mengumumkan kumpulan pertama calonnya untuk PRN akan datang, termasuk tiga wanita – Thanusha Ramanieswaran, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen, dan Melanie Ting Yi-Hlin.
Thanusha, 25, adalah ahli jawatankuasa eksekutif pusat Muda dan guru.
Beliau akan diletakkan sebagai calon bagi kerusi Sentosa.
Syaidiyah, 35, seorang peguam akan menjadi calon Muda bagi kerusi Batu Tiga.
Anak jati Shah Alam itu juga timbalan pendidikan dan inovasi bagi jawatankuasa eksekutif Muda negeri Selangor.
Melanie Ting Yi-Hlin, 23, adalah graduan undang-undang.
Beliau bertanding di kerusi Bukit Antarabangsa, yang kini disandang bekas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Calon lelaki tunggal parti itu ialah setiausaha agungnya Amir Abdul Hadi, yang akan bertanding di kerusi Sri Serdang.
Presiden parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata empat individu ini adalah calon yang berkebolehan dan menyeru pengundi untuk memberi mereka peluang. – 17 Julai, 2023.
Komen