SYARIKAT usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza memfailkan saman terhadap Kementerian Kewangan (MoF) kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan kepada JV itu.
Pengasas dan penasihat Kumpulan Berjaya Vincent Tan Chee Yioun berkata LOI berkaitan kontrak membekalkan kenderaan kerajaan ditamatkan tiga bulan selepas Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.
“Mereka (kerajaan) menamatkan perkhidmatan kami dan memberikannya kepada Spanco. Kerajaan bersetuju untuk membelanjakan RM700 juta lebih tinggi (berbanding bidaan JV).
“Kerajaan berfikiran Berjaya dan Naza tidak cukup bagus dalam perniagaan kereta. Jadi kami memfailkan saman undang-undang terhadap (MoF) berhubung perkara ini dan bersedia untuk ke mahkamah mengenainya,” kata Tan dipetik sebagai berkata dalam sidang media hari ini oleh Edge Malaysia.
Dalam laporan itu Tan berkata tender oleh JV itu mempunyai Naza dengan 51% kepentingan dan Berjaya dengan 49%, itu adalah yang paling murah dalam kalangan semua pembida.
Beliau juga menyatakan kepentingan dalam JV berubah dengan Berjaya kini memegang 40% kepentingan.
Spanco menyelenggara barisan kenderaan kerajaan sejak 1994 sehingga konsesinya berakhir pada akhir 2018.
Pada Februari 2018 kerajaan meminta cadangan untuk kontrak membekal, menyelenggara dan mengurus kumpulan kenderaan rasminya untuk 15 tahun akan datang.
Dilaporkan cadangan diterima daripada sekurang-kurangnya tujuh syarikat.
Selain konsortium Naza-Berjaya pembida lain ialah Sime Darby Bhd, DRB-Hicom Bhd, Samling Group, Comos, Go Auto dan Spanco yang menguruskan konsesi itu sejak 1994.
Menurut Tan konsortium Naza-Berjaya memenangi bidaan dengan tawaran terendah.
Laporan sebelum ini berkata kontrak baharu itu dijangka melibatkan 12,500 kenderaan dalam tempoh 15 tahun dan bernilai RM300 juta setahun selepas tahun kelima. Kereta itu akan digunakan oleh menteri, pegawai kanan kerajaan dan jabatan, serta polis. – 17 Julai, 2023.
Komen