Polis siasat kes culik aktivis pelarian Myanmar, keluarga


Kalidevi Mogan Kumarappa

Aktivis pelarian Myanmar Thuzar Maung bersama suaminya, Saw Than Tin Win, yang diculik bersama tiga anaknya dari rumah mereka di Kuala Lumpur pada 4 Julai 2023. – Gambar Human Rights Watch, 17 Julai, 2023.

POLIS sedang menyiasat penculikan aktivis pelarian Myanmar Thuzar Maung dan keluarganya, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Hussein berkata mereka menerima laporan polis mengenai penculikan itu dan sudah memulakan siasatan.

“Kita sudah menerima laporan polis yang dibuat berkaitan perkara ini.

“Susulan itu siasatan dibuka mengikut KEP orang hilang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awal hari ini, kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) berkata Thuzar dan keluarganya diculik oleh lelaki tidak dikenali dari rumah mereka di Ampang Jaya, Selangor pada 4 Julai lalu.

Pengarah HRW Asia Elaine Pearson berkata selain Thuzar, 46, suaminya, Saw Than Tin Win, 43; anak perempuannya, Poeh Khing Maung, 16; dan anak lelaki Aung Myint Maung, 21, dan Thukha Maung, 17, semuanya diambil secara paksa oleh individu tidak dikenali.

Beliau berkata ia berdasarkan laporan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pearson menambah Thuzar, juga dikenali sebagai Thu Zar Moung, adalah penyokong lantang gerakan pro-demokrasi Myanmar.

“Kami bimbang Thuzar Maung dan keluarganya diculik dalam operasi yang dirancang dan menghadapi risiko besar,” kata Pearson dalam catatan di laman web kumpulan hak asasi itu hari ini. – 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen