.jpg)
“ALL rulers in all ages have tried to impose a false view of the world upon their followers.” – George Orwell (Nineteen Eighty-Four, 1949).
TIDAK dinafikan penyebaran berita palsu dan informasi atas talian yang tidak sahih memberi masalah kepada masyarakat.
Tetapi, saya pelik apabila kerajaan Malaysia dengan tergesa-gesa membentangkan Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar di Parlimen pada minggu ini, tanpa mengambil kira alternatif lain bagi menyelesaikan isu pemalsuan dan ketidaksahihan berita.
Secara peribadi, saya percaya menggubal akta baru bukanlah satu cara dan jalan terbaik, kerana ia hanya bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini.
Antara alternatif bagi menyelesaikan masalah ini adalah dengan mengadakan satu kempen kesedaran secara besar-besaran ke seluruh negara serta mendidik masyarakat untuk lebih bijak dalam menentukan berita yang benar atau palsu, pada masa yang sama, tidak menyebarkan sebarang berita tanpa mengetahui kesahihan sumber.
Kita juga boleh menanam etika kewartawanan dan menggalakkan amalan pemeriksaan fakta dalam kalangan rakan media bagi memastikan hanya kebenaran yang akan disampaikan kepada orang awam.
Tambahan pula, rang undang-undang tersebut dibentangkan tatkala PRU14 semakin hampir, dan saya mempersoalkan motif di sebalik tindakan tergesa-gesa ini.
Saya sangat khuatir kerana besar kemungkinan akta baru ini akan disalahgunakan sebagai alat politik bagi membendung perbezaan pandangan ke atas kerajaan, sehingga membawa pengkritik ke tirai besi, terutamanya apabila PRU14 hampir berlangsung.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari berkata bahawa definisi umum untuk berita palsu adalah “berita yang disahkan sebagai palsu oleh pihak berkuasa melalui kepakaran yang berkaitan dengan hal tersebut”.
Adakah ini bermaksud kerajaan mempunyai hak mutlak dalam menentukan sesebuah berita itu sebagai palsu? Siapakah yang akan dikira sebagai berwibawa dan pakar dalam perkara tersebut?
Kerana, jika dilihat kepada contoh yang diberikan oleh Jailani apabila beliau berbicara mengenai Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar berkenaan 1MDB, ada pelbagai artikel yang diterbitkan oleh agensi berita antarabangsa dan meskipun kredibiliti sebahagian sumber berita itu dipercayai, mereka masih tidak diiktiraf sebagai berwibawa dan maklumat berkenaan 1MDB yang diterbitkan dikategorikan sebagai berita palsu dari kaca mata timbalan menteri kita.
Sudah tentu ia mengundang persoalan: kenapakah hanya 1MDB difokuskan ketika membahaskan akta tersebut?
Sebenarnya, kita tidak perlu tergesa gesa mendesak rang undang-undang ini diluluskan, terutamanya apabila ada isu nasional yang lebih parah yang perlu diberi perhatian sewajarnya.
Sebagai contoh, Malaysia tersungkur ke tangga 62 dalam Indeks Persepsi Rasuah tahunan yang terbaru, posisi paling rendah dihuni Malaysia sejak indeks ini diperkenalkan pada tahun 1995.
Seperti yang diumumkan Transparency International pada Februari lalu, kita menduduki tangga ke-55, tetapi, apa tindakan kita? – 27 Mac, 2018.
* Dr Maszlee Malik ialah ahli Bersatu.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen