Hong Kong keluar amaran Taufan Talim


BALAI Cerap Hong Kong mengeluarkan isyarat angin kencang No. 8 (No. 8 Southeast Gale) pada pagi Isnin, yang akan kekal dikuatkuasakan sehingga 4 petang waktu tempatan di bawah kesan Taufan Talim, lapor Xinhua.

Isyarat angin No.8 ialah amaran ketiga tertinggi di bawah sistem cuaca Hong Kong. Angin dengan kelajuan purata 63km sejam atau lebih dijangka dari arah tenggara.

Bursa Saham Hong Kong menggantung dagangan mereka, beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong juga dibatalkan, manakala beberapa jeti digantung operasinya ketika destinasi tumpuan pelancong seperti Hong Kong Disneyland ditutup buat sementara waktu.

Pada 1 petang Isnin, Taufan Talim berpusat kira-kira 270km barat daya Hong Kong dan diramalkan bergerak ke barat laut pada kelajuan kira-kira 18km sejam ke arah Semenanjung Leizhou, Wilayah Guangdong. – Bernama, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen