Isu Sanusi masih belum selesai, titah Sultan Selangor


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini. – Gambar Facebook, 17 Julai, 2023.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan kenyataan yang didakwa menghina institusi Diraja Selangor baru-baru ini masih belum selesai.

Pejabat Baginda dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

“Pertemuan secara berasingan ini membincangkan mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah beliau di Selangor baru-baru ini yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Semalam Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata permohonan maaf Sanusi tidak akan membuatkan polis menghentikan siasatan mereka berhubung dakwaan beliau menghina sultan Selangor.

“Siasatan kami masih berjalan (walaupun Sanusi sudah memohon maaf),” katanya dipetik Berita Harian.

Razarudin berkata polis menerima 57 laporan polis terhadap Sanusi setakat pagi semalam.

Beliau menambah kertas siasatan ke atas Sanusi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Ketiga-tiga mereka disiasat kerana membangkitkan isu kaum, agama dan royalti (3R).

Pada Sabtu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata beliau menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon ampun dan maaf atas kenyataannya yang dibuat pada ceramah baru-baru ini.

Beliau turut memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman pada Sabtu.

Bagaimanapun beliau mendakwa ucapannya sengaja diputar belit untuk mewujudkan pemahaman yang salah terhadap mesej yang dimaksudkan.

Susulan itu Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata permohonan maaf Sanusi tidak bermakna beliau akan terlepas daripada siasatan polis dan tindakan undang-undang. – 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen