Speaker Parlimen Singapura letak jawatan


PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerima peletakan jawatan Tan Chuan-Jin sebagai speaker Parlimen, ahli Parlimen (MP), dan juga ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), berkuat kuasa serta merta.

“Peletakkan jawatannya adalah perlu, bagi mengekalkan standard kewajaran dan kelakuan peribadi yang tinggi yang dipertahankan PAP selama ini,” kata Lee dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Lee berterima kasih kepada Tan kerana menjadi sebahagian daripada pasukannya, dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dan keluarganya.

Tan ialah ahli Parlimen bagi kawasan pilihan raya perwakilan kumpulan Marine Parade (GRC).

Dalam pertukaran suratnya dengan Tan, Lee berkata beliau menghargai pengakuan Tan yang beliau gagal dalam soal kelakuan peribadinya.

Lee berkata beliau memahami hasrat Tan untuk “berundur dari arena politik dan membantu memulihkan keluarganya”.

“Saya pernah bercakap dengan anda sebelum ini. Anda mengakui bahawa apa yang anda lakukan adalah salah dan bersedia meletakkan jawatan,” kata Lee.

Mengenai kenyataan Tan baru-baru ini di Parlimen, Lee berkata Tan membuat memohon maaf secara terbuka dan kepada ahli Parlimen berkenaan serta ahli Parlimen itu menerima permohonan maafnya.

“Tetapi anda melafazkan ketika anda bertindak sebagai Speaker, menjadikan perkara ini lebih serius,” kata Lee.

Tan dikritik pada minggu lalu kerana menggunakan “bahasa yang tidak sesuai digunakan di Parlimen” dalam reaksinya terhadap ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Parti Pekerja Jamus Lim.

Lee juga menerima peletakan jawatan Cheng Li Hui sebagai ahli Parlimen, dan juga sebagai ahli PAP.

Beliau ialah ahli Parlimen Tampines East dan Tampines GRC. – Bernama, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen