Chegubard lapor kes Anwar? SPRM kata tak ada


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM berkata tiada aduan rasmi atau memorandum diterima daripada pemimpin parti Bersatu Badrul Hisham Shaharin sehingga hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.

TIADA sebarang aduan rasmi ataupun memorandum diterima daripada pemimpin parti Bersatu Badrul Hisham Shaharin sehingga hari ini, kata agensi antirasuah.

Menurut sumber, pada 11 Julai lalu, kira-kira jam 1.52 petang, Badrul hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun tidak mengemukakan apa-apa aduan.

“Beliau membuat satu sidang media di luar Ibu Pejabat SPRM dan setelah selesai sidang media, individu tersebut meluahkan hasrat untuk menyerahkan memorandum di pondok keselamatan pintu depan.

“Namun, pegawai SPRM memaklumkan prosedur penyerahan memorandum mesti dibuat di dalam premis dan ada pegawai yang sedia menunggu untuk menerimanya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, kata sumber, anggota jawatankuasa penerangan Bersatu itu enggan masuk dan memaklumkan akan menyerahkan maklumat secara pos.

Katanya, sehingga hari ini, agensi itu belum menerima sebarang aduan rasmi atau memorandum daripada aktivis itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi turut menafikan telah menerima sebarang aduan atau laporan daripada individu bernama Badrul Hisham Shaharin.

Badrul dalam sidang media di hadapan SPRM Putrajaya pada Selasa lalu dan mendakwa mempunyai bukti mengenai pemilikan rumah, tanah dan kereta Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mendakwa akan menyerahkan bukti menunjukkan kediaman Anwar di Kajang milik seorang ahli perniagaan.

Susulan itu, setiausaha politik Anwar Ahmad Farhan Fauzi membuat laporan polis pada Khamis ke atas Badrul kerana memfitnah perdana menteri.

Peguam Anwar Sankara Nair pada masa sama turut menjelaskan kediaman perdana menteri dipajak untuk tempoh 10 tahun pada 2020.

Selain Badrul, laporan itu juga dibuat kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan blogger Raggie Jessy Rithaudeen.

Badrul seterusnya semalam membuat laporan polis ke atas Anwar dan mendakwa perdana menteri menekan pihak berkuasa untuk menutup mulutnya. – 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen