PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan sokongan penuh partinya kepada pesaing yang bertukar menjadi sekutu, DAP bagi memastikan Pulau Pinang tidak tewas kepada Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri 12 Ogos.
Zahid berkata Umno dan Barisan Nasional komited untuk memastikan kemenangan di Pulau Pinang.
Berucap pada majlis pelancaran jentera Perpaduan di Seberang Jaya malam tadi, Zahid yang merupakan pengerusi BN dan timbalan perdana menteri berkata jentera Umno Pulau Pinang berjanji kepadanya akan membantu PH di Pulau Pinang.
“Dalam kes Pulau Pinang, kami yakin dapat mengekalkan negeri itu. Malah perdana menteri telah mengesahkan penyandang ketua menteri Chow Kon Yeow akan menjadi ketua menteri sekiranya gabungan itu menang dalam pilihan raya negeri akan datang.
“Saya akan hantar Adun (wakil rakyat) saya kepada awak. Kami juga ingin mengambil bahagian kami.
“Ini bukan soal kuasa tetapi kebersamaan. Apabila kita komited, kita akan melaksanakannya dengan penuh komitmen untuk mengukuhkan kerajaan perpaduan.
“Chow, ini kali pertama BN menjadi rakan kongsi. Tidak akan ada flip flop. Bila kita berjanji, kita tunaikan. Itu komitmen kita,” katanya dipetik New Straits Times hari ini.
Zahid juga berkata Islam tidak pernah terancam di bawah kerajaan perpaduan.
“(Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke duduk di sebelah kanan saya semasa mesyuarat Kabinet. Beliau tidak pernah membangkitkan sebarang isu anti-Islam.
“Beliau (Loke) bersetuju dengan apa sahaja yang diperkatakan oleh perdana menteri,” katanya. – 17 Julai, 2023.
Komen