Pelakon, ikon fesyen Jane Birkin meninggal dunia


Penyanyi dan pelakon kelahiran Britain, Jane Birkin meninggal dunia pada usia 76 tahun di rumahnya di Paris. – Gambar fail AFP, 17 Julai, 2023.

JANE Birkin, penyanyi dan pelakon kelahiran Britain yang menjadi ikon gaya di Perancis, meninggal dunia pada usia 76 tahun, kata sumber.

Birkin mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu yang menyebabkan beliau terpaksa membatalkan konsertnya.

Punca kematian masih tidak diketahui. Menurut sumber polis, pembantu pusat penjagaan menemui Birkin meninggal dunia di rumahnya di Paris semalam.

Tanpa elemen mencurigakan ditemui di mayatnya atau di dalam pangsapurinya, tiada siasatan akan dibuka, kata sumber.

Ejennya dan ahli keluarganya belum mengesahkan kematian itu.

Birkin menempah kemahsyuran menerusi hubungannya dengan penyanyi dan penulis lirik legenda Serge Gainsbourg.

Pada 1984, Hermes menamakan salah satu beg tangan keluarannya dengan nama Birkin, selepas beliau mengadu kepada bekas ketua eksekutif Hermes yang beliau tidak dapat menemui beg tangan kulit yang dapat memuatkan semua keperluannya sebagai ibu muda.

Beg Birkin pada masa ini adalah beg tangan mewah yang sangat diidamkan dan menjadi simbol status. – AFP, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen