Pakatan, BN atur strategi ampuh raih kemenangan di 6 negeri, kata Anwar


PH dan BN harus atur strategi ampuh sekali gus mengumpul kekuatan akar umbi parti masing-masing bagi memenangi PRN di enam negeri, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) harus mengatur strategi yang ampuh sekali gus mengumpul kekuatan akar umbi parti masing-masing bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata syarat lain bagi dua gergasi politik tanah air itu untuk meraih kemenangan ialah dengan mengerah seluruh jentera parti yang berada dalam kerajaan perpaduan.

“Ini pesan saya, Umno ada pangkalan di kampung, DAP ada pangkalan di bandar, PKR campur-campur sikit. Kalau PH dan BN ini ada strategi yang ampuh, kumpul kekuatan akar umbi dia untuk masa depan.

“Tiada siapa yang mampu goyahkan kedudukan kita, percayalah, tiada siapa yang boleh goyangkan kita,” katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi.

Turut hadir Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta pemimpin BN dan PH.

Presiden PKR itu percaya dan yakin gabungan gergasi PH-BN akan menempa sejarah dengan keputusan luar biasa di Pulau Pinang.

Beliau berkata buat julung kalinya, PH yang sebelum ini memerintah dan BN sebagai pembangkang kuat di Pulau Pinang, kini bergabung.

Anwar, yang mengakhiri jadual padat dalam lawatan kerja ke Pulau Mutiara malam tadi, berkata gabungan PH-BN bukan untuk mengekalkan kuasa sebaliknya bersandarkan prinsip menyelamatkan negara dan menjaga tatakelola baharu Malaysia.

“Kalau kita lihat perkiraan biasa, (melalui) gabungan dua gergasi ini saya percaya kita akan tempa keputusan luar biasa di Pulau Pinang,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata rekod pentadbiran PH di bawah Chow adalah baik dan beliau akan kekal sebagai ketua menteri sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN di Pulau Pinang. – Bernama, 17 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen