KKD, Perkeso bincang caruman untuk stringer


KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pihak terbabit berhubung caruman untuk wartawan khususnya stringer atau wartawan sambilan.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata beliau sudah berbincang mengenai perkara itu bersama Ketua Setiausaha Mohamad Fauzi Md Isa dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Beliau berkata pihaknya perlu meneliti isu dihadapi oleh stringer yang tidak berkhidmat dengan organisasi atau syarikat media secara sepenuh masa.

Antara perkara yang akan diteliti katanya adalah apabila berlaku kemalangan dan pemberita terbabit tidak boleh bekerja namun proses rehabilitasi berkos tinggi serta tidak ditampung oleh Perkeso.

“Jadi ada beberapa perkara kita nak teliti dan tambah baik sebab bagi saya stringer melengkapkan ekosistem bagi pengamal media dan mereka banyak membantu, maka kita nak teliti apa yang kita boleh lakukan untuk membantu lebih ramai stringer,” katanya kepada pemberita di Kampar, Perak hari ini.

Terdahulu, Fahmi menziarahi wartawan bebas Ng Kan Seng di kediamannya di Kampar bagi menyampaikan bantuan dan memberi sokongan kepada Ng yang kini uzur.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama D Arul Rajoo yang juga Pengarah Projek Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Fahmi yang menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@Hawana kepada Ng, 68, berkata wartawan bebas itu pernah berkhidmat di beberapa akhbar berbahasa Cina antaranya Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh dan Sin Chew Daily.

Beliau berkata dengan peredaran zaman mungkin sedikit sukar untuk Ng terus berkecimpung dalam bidang kewartawanan apatah lagi apabila isterinya Ting Kit Khim, 62, mengalami strok dan tidak boleh berjalan.

Katanya Ng menghabiskan masa menjaga isteri dan adiknya Ng Kin Kok, 66, yang mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan.

“Bantuan yang kami sampaikan hari ini ada berbentuk barang-barang dan juga wang tunai yang kita harap dapat mengurangkan sedikit beban yang dipikul oleh beliau,” katanya.

Tabung Kasih@Hawana diwujudkan sempena Hawana 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan. – Bernama, 16 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen