SERAMAI 42 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang mereka naiki terbakar di KM52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Hutan Lipur Lentang, Bentong, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.15 malam sebelum dua jentera bersama lapan pegawai serta dua anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya bas itu dalam perjalanan dari Kajang, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dan kebakaran dipercayai bermula dari bahagian enjin kenderaan.
“Bas berkenaan musnah sepenuhnya, bagaimanapun dua pemandu dan 42 penumpang berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi.
Operasi yang turut dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik itu tamat pada jam 12.40 tengah malam. – Bernama, 16 Julai, 2023.
Komen