PUTRAJAYA tidak berkuasa untuk menyekat mana-mana akaun TikTok di Malaysia termasuk akaun milik Menteri Besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Tambahnya, Putrajaya mempunyai lebih banyak kerja lain daripada menyekat akaun Sanusi.
“Hari ini MB Kedah kata content TikTok dia kena padam. Dia kata Malaysia dah jadi korea utara!
“Saya tentunya tak setuju sebab memang bukan kerajaan yg buat, kita pun banyak kerja lain,” tulisnya di Twitter.
Pada ceramah di Baling malam tadi, Sanusi mendakwa Putrajaya telah menyekat akaun TikToknya.
Menurutnya, tindakan itu dibuat bagi menghalangnya daripada bercakap dengan rakyat menjelang pilihan raya negeri dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos depan.
Beliau turut mendakwa akaun TikTok beberapa orang pemimpin Perikatan Nasional lain turut disekat.
Saifuddin, hari ini, bagaimanapun menafikan dakwaan itu, berkata tindakan ke atas akaun Sanusi dibuat gergasi media sosial itu sendiri.
Katanya, mungkin ada aduan diterima TikTok daripada pengguna lain yang menyebabkan ia disekat.
“Kalau TikTok terima banyak report & aduan oleh pengguna lain,maka TikTok akan ban la akaun yang menjadi isu itu.
“Kiranya yang ban TikTok kita ialah publik bukannya kerajaan. Publik buat aduan & TikTok ban,” katanya.
Susulan sekatan itu, Sanusi sudah membuka akaun TikTok baharu.
Pengarah pilihan raya PN itu membuka akaun baru lewat malam tadi dan setakat ini sudah diikuti lebih 80,000 orang. – 16 Julai, 2023.
Komen