SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan membuka bilik gerakan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Pengarah SPRM Kelantan Rosli Husain berkata bilik gerakan itu akan beroperasi 24 jam mulai 29 Julai.
“Pada PRN kali ini, bilik gerakan akan beroperasi di pejabat SPRM Kelantan.
“Sepanjang masa ada pegawai bertugas, orang ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku pada PRN nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog cegah rasuah rezeki barokah di Masjid Ismail Petra Tanah Merah di Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan perbuatan rasuah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubar pada 22 Jun lalu.
“Kami nasihatkan mana-mana individu supaya tidak terbabit dengan salah laku rasuah jadi PRN akan berjalan dengan lancar,” katanya. – Bernama, 16 Julai, 2023.
Komen