PERMOHONAN maaf Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan menghentikan siasatan polis berhubung dakwaan beliau menghina Sultan Selangor, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain hari ini.
“Siasatan kita tidak berhenti, masih diteruskan berdasarkan kelaziman prosedur (walaupun Muhammad Sanusi sudah minta maaf),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Razarudin berkata polis telah menerima 57 laporan terhadap Sanusi setakat pagi semalam.
Tambahnya, kertas siasatan ke atas Sanusi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara secepat mungkin.
Ketiga-tiga mereka disiasat kerana membangkitkan isu kaum, agama dan raja (3R).
Semalam, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata beliau telah menghantar surat kepada Sultan Selangor memohon ampun dan maaf atas kenyataannya sebelum ini.
Beliau turut memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman semalam.
Bagaimanapun, dia mendakwa ucapannya sengaja diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah.
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata permohonan maaf Sanusi tidak bermakna beliau akan terlepas daripada siasatan polis dan tindakan undang-undang.– 16 Julai, 2023.
Komen