PENGERUSI Perikatan Nasional Selangor Azmin Ali memberitahu anak didiknya, Amirudin Shari daripada PKR supaya tidak terlalu sombong hanya kerana mengalahkannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 sebelum ini.
Pada PRU15 lalu, Amirudin yang juga menteri besar Selangor mengalahkan Azmin di kerusi Parlimen Gombak.
Azmin berkata kekalahan lepas bukan bermaksud yang beliau juga akan tewas pada pilihan raya negeri akan datang.
“Saya kalah di Gombak, Amirudin sahabat saya dengan angkuh dan sombong mengatakan beliau telah menghumban saya di Gombak.
“Tak apalah, saya reda dengan kekalahan saya di Gombak. Mudah-mudahan ini peluang kepada saya untuk melakukan muhasabah, tetapi saya nak ingatkan kepada Amirudin, kalah satu pilihan raya tidak bermakna kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Azmin sebelum tewas PRU15, menang PRU14 di Parlimen Gombak dengan majoriti 48,721 untuk penggal ketiganya.
Pada PRU15, Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor menewaskan Azmin dengan majoriti 12,729 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu adalah penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa.
Pada PRN akan datang, ada aura-ura yang beliau akan beralih bertanding di DUN Hulu Kelang.
24 tahun lalu, Azmin menang di kerusi Hulu Kelang pada PRU10 diadakan pada 1999, ia merupakan kemenangan pertamanya. – 16 Julai, 2023.
Komen