Menteri luar Thailand, Rusia adakan mesyuarat 2 hala di Phuket 


Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov di Phuket.– Gambar EPA, 16 Julai, 2023.

MENTERI Luar Thailand, Don Pramudwinai, telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov di Phuket pada Sabtu untuk membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand memaklumkan bahawa Don dan Lavrov juga berbincang tentang isu-isu serantau dan global, seperti situasi di rantau Asia-Pasifik, Ukraine, dan Myanmar.

“Kedua-dua belah pihak telah mengadakan perbincangan yang berjaya hasil daripada sesi kelapan Jawatankuasa Bersama Thai-Rusia mengenai Kerjasama Dua Hala pada 27 April tahun ini, merangkumi isu-isu penting yang menjadi kepentingan bersama.

“Ini termasuk meningkatkan perdagangan dua hala ke tahap sebelum wabak Covid-19 melalui kemudahan perdagangan dan penghapusan halangan bukan tarif, terutamanya pada produk perikanan Thailand; meningkatkan kerjasama dalam sains, teknologi dan inovasi (STI), budaya, sukan, pelancongan; serta menyatakan sokongan untuk memulakan rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Thailand dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) secepat mungkin,” katanya.

Lawatan Lavrov ke Phuket adalah untuk merasmikan pembukaan Konsulat-Jeneral Rusia di Phuket.

Lawatan itu adalah lawatan pertama Menteri Luar Rusia ke Thailand selepas wabak Covid-19. Kali terakhir beliau ke Thailand adalah pada 30 hingga 31 Julai 2019 untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 dan Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di Bangkok. – Bernama, 16 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen