KERAJAAN Selangor yakin negeri itu mampu mencapai status berpendapatan tinggi melalui siri perancangan dan pelaksanaan pembangunan komprehensif meliputi pelbagai sektor ekonomi, pengembangan bakat serta tawaran pendidikan dan kerjaya berkualiti.
Ketika berkongsi rasa optimis itu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata bersandarkan bilangan penduduk yang tinggi, pengurusan ekonomi cekap dan asas infrastruktur terbaik, Selangor boleh menyertai Sarawak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang lebih awal dinobatkan sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh pihak Bank Dunia.
Tanpa menetapkan sebarang tempoh khusus bagi mencapai matlamat itu, beliau yang dilantik menerajui kerajaan negeri pada Jun 2018, berkata pelbagai program telah dirangka bagi memastikan Selangor kekal maju dan moden yang berperanan sebagai enjin utama ekonomi negara serta penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) di peringkat nasional.
Bagi tujuan tersebut, ahli Parlimen Gombak itu berkata Selangor yang mempunyai kira-kira tujuh juta penduduk, kini giat mempromosi dan menyedia peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada golongan belia sebagai tenaga mahir tempatan untuk memenuhi keperluan pekerjaan industri berteknologi tinggi masa kini dan akan datang.
“Selangor sememangnya menetapkan satu sasaran khusus ke arah mencapai status negeri berpendapatan tinggi dan jika diambil kira jumlah penduduk, perkembangan ekonomi yang memberangsangkan setiap tahun serta infrastruktur terbaik, kita yakin matlamat itu boleh dicapai,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Mengulas selanjutnya, Amirudin berkata inisiatif ke arah sasaran tersebut juga sudah mula menampakkan hasil dengan beberapa jalinan kerjasama antara Selangor dengan syarikat gergasi teknologi antaranya, Apple Inc, Festo dan Siemens Malaysia.
Malah, ini turut disusuli kerjasama dengan Dassault Systemes yang akan ditandatangani pada September ini yang meliputi usaha penyediaan sumber tenaga kerja TVET.
Beliau berkata, Selangor juga terbukti mencatat mencatat prestasi KDNK terbaik di peringkat nasional menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan negeri itu merekodkan pertumbuhan 25.5% pada tahun lepas dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar.
Laporan itu juga menunjukkan Selangor mencapai trend peningkatan sumbangan KDNK setiap tahun iaitu 24% pada 2016/2017 diikuti 24.5% pada 2018/2019.
“Pencapaian itu menunjukkan keupayaan Selangor untuk bergerak ke arah negeri berpendapatan tinggi biar pun prestasi tersebut dicatat ketika negara masih lagi diancam pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selain bencana banjir,” katanya.
Selain itu, Amirudin berkata kerajaan Selangor juga telah menyediakan pelan tindakan bagi pembangunan perindustrian, pengangkutan awam negeri selain Selangor Smart State serta Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dirangka bagi memacu kelestarian pembangunan negeri yang komprehensif, mampan dan berterusan pada masa kini dan akan datang.
Jelasnya, RS-1 dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 27 Julai lepas dan digarap sebagai satu rancangan dan usaha kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan direncanakan dengan lebih terperinci.
Menerusi RS-1, kerajaan negeri juga menyasarkan menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang 2025.
Menyentuh mengenai pencapaian sepenggal pentadbirannya sebagai Menteri Besar, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua berkata slogan ‘Kita Selangor’ yang digagaskannya berjaya membentuk budaya dan jati diri dalam kalangan penjawat awam negeri, ahli politik dan masyarakat untuk bekerja sehabis baik memastikan negeri itu bergerak maju sebagai enjin ekonomi negara, biar pun terpaksa berhadapan pandemik Covid-19 serta isu-isu lain seperti kelembapan ekonomi global dan krisis politik yang berlaku serentak.
“Dengan semangat ‘Kita Selangor’ kita berupaya mewujudkan satu pasukan yang berjaya memacu pentadbiran dan pembangunan Selangor sehingga mampu meletakkan negeri ini di tempat teratas dalam pengurusan ekonomi melalui keupayaan Selangor mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar kepada pendapatan negara,” katanya.
Beliau berkata sepanjang penggal ini sahaja, tiga majlis daerah iaitu Majlis Daerah Kuala Langat, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Hulu Selangor telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran manakala Majlis Perbandaran Subang Jaya pula diangkat menjadi Majlis Bandaraya, mengiringi Shah Alam dan Petaling Jaya yang lebih awal memperoleh pengiktirafan tersebut.
Amirudin berkata pengiktirafan tersebut membuktikan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjaya membangunkan negeri dalam pelbagai aspek meliputi ekonomi, infrastruktur dan sosial sehingga mencatat kepesatan pembangunan berterusan di kawasan tersebut, sekali gus memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperoleh status Majlis Perbandaran dan Majlis Bandaraya.
“Pengiktirafan ini menjadikan hanya Sabak Bernam satu-satunya daerah daripada 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor yang masih berstatus Majlis Daerah,” katanya. – Bernama, 16 Julai, 2023.
Komen