Kekejaman pemilik program hamba seks wanita berakhir


Keith Raniere juga dikenali dengan gelaran The Vanguard dituduh melakukan jenayah pelacuran dan konspirasi dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara 15 tahun atau seumur hidup. – Gambar NBC News, 27 Mac, 2018.

SEORANG lelaki yang berselindung di sebalik program motivasi untuk menjalankan aktiviti perhambaan seks wanita akan dibawa ke mahkamah hari ini, lima bulan selepas melarikan diri ke Mexico.

Keith Raniere, 57, dari Waterford yang juga popular dengan gelaran “The Vanguard” dituduh melakukan jenayah pelacuran dan konspirasi dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara antara 15 tahun atau seumur hidup.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan polis Mexico mengesan kehadiran lelaki itu di sebuah vila mewah di pantai Pasifik selepas melarikan diri ke negara itu bersama perempuan simpanannya, susulan pendedahan dibuat The New York Times, Oktober lalu.

Pegawai kanan FBI Willian Sweeney berkata Raniere menyalahgunakan kuasa dimiliki dengan cara cukup menjijikkan apabila memanipulasi golongan wanita sebagai hamba seks, malah turut mencacah tatu berukir pangkal namanya di bahagian kemaluan semua mangsa.

Sweeney berkata kesalahan dilakukan Raniere jenayah kemanusiaan yang serius.

Sepanjang melakukan jenayah itu, Raniere berselindung di sebalik kewujudan bengkel memperkasa diri dikenali dengan nama Program Kejayaan Eksekutif yang ditubuhkan pada 1988.

Program dinaungi pertubuhan Nxivm itu beroperasi di Kanada, Mexico, Amerika Selatan dan seluruh Amerika Syarikat. – AFP, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen