MENTERI Luar Turkiye Hakan Fidan pada Sabtu mendedahkan pihaknya mengadakan perbincangan bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor penerbangan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Terdapat permintaan yang tinggi untuk penerbangan Turkish Airlines ke Indonesia. Kami membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama kami dalam sektor penerbangan.
“Dalam mesyuarat hari ini, kami turut membincangkan kepentingan memerangi keganasan dan jenayah rentas negara. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang meluas,” kata Fidan pada sidang media bersama Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi pada Mesyuarat Trilateral Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Turkiye di Jakarta, Indonesia.
Mereka juga membincangkan cabaran global termasuk Islamofobia dan perbuatan mencemarkan kitab suci Al-Quran.
Turkiye dan Indonesia menubuhkan majlis strategik peringkat tinggi pada 2022.
“Ini adalah peristiwa penting dalam hubungan kami. Mekanisme ini akan menjadi langkah konkrit ke hadapan untuk meningkatkan hubungan ke fasa baharu.
“Indonesia juga merupakan rakan diplomatik di bawah Inisiatif Asia Baharu kami,” katanya.
Mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai mengadakan mesyuarat pertama di bawah Inisiatif Asia Anew yang bertujuan untuk memanfaatkan potensi peluang kerjasama dengan negara-negara Asia.
Fidan menambah Indonesia ialah rakan kongsi strategik Turkiye dengan persahabatan dan kerjasama yang sudah lama terjalin.
“Indonesia adalah antara negara pertama yang menghubungi Turkiye berikutan gempa bumi yang dahsyat pada Februari. Kami berterima kasih kepada Indonesia atas sokongan yang diberikan,” katanya.
Fidan juga menegaskan industri pertahanan merupakan salah satu topik yang menonjol dalam agenda dua hala Turkiye-Indonesia.
Beliau memaklumkan syarikat industri pertahanan Turkiye menerajui bidang tertentu dan menekankan potensi untuk kerjasama selanjutnya dalam bidang tersebut. – Bernama, 15 Julai, 2023.
Komen