PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersetuju untuk bekerjasama pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua parti berharap kerjasama mereka akan membuka laluan kepada politik baharu negara ini.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj juga mengumumkan mereka tidak akan merebut kerusi sesama mereka.
“MUDA dan PSM juga bersetuju bahawa satu (1) calon sahaja akan ditetapkan untuk mewakili MUDA dan PSM supaya tidak ada pertembungan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
“MUDA dan PSM mewakili rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Kami berasa bahawa politik arus perdana Malaysia selama ini yang berasaskan sentimen perkauman sudah lapuk ditinggal zaman dan perlu diganti dengan perjuangan berasaskan keperluan,” kata kenyataan.
“Saya tidak sabar (dengan kerjasama ini),” kata Dr Jeyakumar pada sidang media disiarkan menerusi media sosial.
Syed Saddiq pula menekankan pemahaman pilihan raya berdasarkan lima prinsip utama; menolak politik perkauman, mengangkat Nasib rakyat terbanyak dan terpinggir, demokrasi tulen, pembangunan seimbang dan inklusif serta yang terakhir, mengangkat isu alam sekitar termasuk dasar hijau dan perubahan iklim dunia.
“Blok politik bersar mungkin mahu menampakkan kami kecil tetapi idealisme, tenaga dan cita-cita kami untuk membina negara berintegriti adalah besar,” katanya lagi.
Kedua-dua pemimpin berharap kerjasama mereka akan dapat diteruskan selepas PRN nanti.
Kerjasama Muda dan PSM berlaku selepas parti itu mengumumkan akan bertanding sendiri dan tidak bersama Pakatan Harapan.
Khamis lalu parti itu mengumumkan kumpulan pertama empat calonnya pada PRN akan datang termasuk tiga calon Wanita – Thanusha Ramanieswaran, Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen, dan Melanie Ting Yi-Hlin.
Setiausaha Agung Muda yang juga pengasas bersama parti itu Amir Hariri Abd Hadi pula akan bertanding di DUN Seri Serdang di bawah kawasan Parlimen Puchong.
Syaidiyah Izzati akan bertanding di kerusi Batu Tiga, Shah Alam, R. Thanusha di Sentosa, Kota Raja dan Melanie Ting Yi-Hlin di Bukit Antarabangsa, Ampang.
PSM pula mengumumkan yang Sivaranjani Manickam sebagai calonnya di kerusi DUN Meru.
Kesemua kerusi itu terletak di Selangor.
Selain Selangor, lima lagi negeri – Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu turut mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos. – 15 Julai, 2023.
Komen