Suspek serangan London kaki pukul isteri 


(Dari kiri) Khuram Shazad Butt, Rachid Redouane dan Youssef Zaghba dikenal pasti sebagai tiga penyerang yang terlibat dalam serangan di London pada 3 Jun. – Gambar EPA, 7 Jun 2017.

SEORANG daripada penyerang dalam serangan London minggu lalu, Rachid Redouane, digambarkan sebagai seorang kaki pukul yang sering memukul isteri dan mengurungnya yang berkerakyatan British.

The Mirror melaporkan Redouane akan memukul Charisse O’Leary jika isterinya itu minum segelas wain, menghisap rokok atau makan makanan tidak halal.

Penderaan termasuk menampar O’Leary di muka, ditendang di bahagian perut dan dikunci di dalam rumah jika arahannya dilanggar.

Redouane juga tidak akan teragak-agak memukulnya walaupun di jalanan jika O’Leary melawan cakapnya.

Kedua-dua bertemu di London pada 2010 sebelum berkahwin di Dublin pada 2012.

O’Leary adalah penjaga, manakala Redouane bekerja sebagai chef pastri.

Mereka berkahwin secara Islam dan diikuti  majlis secara sivil di pejabat pendaftaran.

Pasangan itu menetap di sebuah flat di Dublin berhampiran berek Brigade 2 Tentera Ireland.

Redouane tidak lama kemudian berpindah semula ke negara asalnya Maghribi, di mana dia tinggal selama 17 bulan dan menjadi radikal.

Sekembalinya ke Dublin, O’Leary berkata pandangan Islam, Redouane bertukar menjadi “melampau”.

Pada masa sama, polis Ireland percaya O’Leary mungkin menggunakan nama pertama dalam bahasa Arab iaitu Sherifa.

Redouane juga menggunakan nama keluarga Elkhdar dan dipercayai dikenali sebagai Rachid Almagrabi – yang bermaksud Rachid Maghribi.

Pada April 2015, O’Leary memberitahu beberapa rakannya: “Dia merosakkan hidup saya dan membuat saya begitu sakit dan tertekan.” Walaupun begitu, dia masih tinggal bersamanya.

Pada September tahun itu, mereka memberitahu tuan rumah di Dublin, mereka bakal menimang cahayamata dan berpindah ke England.

Seorang rakan berkata: “Memang menjadi matlamatnya untuk kembali ke UK – sebab itu dia mempunyai kad penduduk tetap Ireland.

“Isterinya tidak memperoleh wang mencukupi untuk membawa Redouane ke UK dengan visa pasangan.

“Jadi, dia mengikut laluan Ireland dan berpindah ke England di bawah peraturan pergerakan bebas EU.”

Selepas perkahwinannya, dia diberikan diberi kad pengenalan Imigresen Nasional Garda, yang membenarkannya ke UK dan tinggal selama lima tahun, bekerja dan akses kepada perkhidmatan awam.

O’Lear adalah seorang daripada 12 orang yang ditahan berkaitan serangan London, tetapi kemudian dibebaskan tanpa caj.

Pihak masjid di Dublin mengatakan mereka tidak mempunyai rekod Redouane pernah bersembahyang bersama sepanjang berada di bandar.

Summayah Kenna, yang mengendalikan media bagi Pusat Kebudayaan Islam Ireland semalam berkata, polis sudah menghubungi lebih awal pada Ahad.

“Kami segera memulakan siasatan sendiri dalam komuniti,” katanya.

“Kami melihat gambar malam tadi (Isnin) dan bertanya sama ada sesiapa mengenalinya tetapi tiada siapa nampaknya mengenali dia.”

Seorang warga Maghribi di pusat itu, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata terdapat beberapa orang rakan senegaranya di Dublin.

“Kami tidak ramai dan kami saling mengenali. Kami semua saling membantu dan tiada siapa yang mengenalinya.”

Polis percaya pelampau di Ireland masuk ke UK dengan mengeksploitasi “soft border” dengan Ireland Utara.

Sumber polis berkata: “Apabila mereka mempunyai residensi Ireland, mereka bebas bergerak di dalam kawasan yang perjalanan biasa.” – 7 Jun 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen