PBB kritik kenyataan ketua tentera Myanmar mengenai Rohingya


SETIAUSAHA Agung PBB Antonio Guterres hari ini mengkritik ketua tentera Myanmar selepas mengisytiharkan yang penduduk Islam Rohingya tidak mempunyai persamaan dengan kumpulan etnik lain di negara itu.

Guterres berkata beliau “terkejut” dengan laporan ucapan Jeneral U Min Aung Hlaing pada perhimpunan ketenteraan dan menggesa pemimpin Myanmar “mengambil pendirian bersatu menentang hasutan terhadap kebencian dan mempromosikan keharmonian budaya.”

Semasa perhimpunan di negeri Kachin utara pada Isnin, Hlaing merujuk kaum Rohingya sebagai “Bengali,” istilah yang menggambarkan mereka sebagai orang asing, dan mengatakan mereka “tidak mempunyai ciri atau kebudayaan yang sama dengan etnik Myanmar.”

“Ketegangan disebabkan ‘Bengali’ menuntut kewarganegaraan,” katanya yang dipetik Dhaka Tribune.

Sekitar 700,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh sejak Ogos lalu susulan tindakan keras tentera yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Pihak berkuasa Myanmar mengatakan operasi itu bertujuan untuk menghapuskan ekstremis.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, pemenang Nobel kedamaian hilang kepercayaan demokratiknya di pentas dunia kerana gagal bersuara mengenai nasib Rohingya.

Guterres berkata ia “penting bagi syarat-syarat disediakan untuk memastikan Rohingya dapat pulang ke tanah air secara sukarela, dengan selamat dan bermaruah.”

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap dapat ke Myanmar untuk melihat sendiri krisis pelarian, namun belum diberi kebenaran untuk melakukannya oleh pihak berkuasa Myanmar.

Guterres sejak berbulan lalu mempertimbangkan pelantikan seorang wakil khas untuk Myanmar yang akan memastikan nasib Rohingya terus dalam perhatian antarabangsa. – AFP, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen