Sanusi perlu sedia berdepan tindakan, kata menteri


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemimpin yang menyentuh isu 3R perlu bersedia menghadapi tindakan tegas daripada pihak berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2023.

PEMIMPIN yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) perlu bersedia menghadapi tindakan tegas daripada pihak berkuasa termasuk dari segi undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemimpin sedemikian terutamanya Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor perlu bersedia berdepan kesan dan akibat daripada kelancangan ucapan beliau yang terus menyentuh isu 3R.

“Menteri besar Kedah terlajak jauh dalam erti kata lain bukan sahaja berlaku kelantangan malah berupa nada penghinaan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapannya baru-baru ini dan perkataan berunsur penghinaan kepada lawan politik, mempersendakan tubuh badan, ini bukan sebagai pemimpin parti Islam.

“Polis iaitu Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan kepada saya berdasarkan aduan diterima yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan setakat ini 30 laporan polis diterima terhadap Sanusi,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah, di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, malam tadi.

Beliau berkata laporan berkenaan melibatkan beberapa kes termasuk penghinaan terhadap Sultan Selangor dan pihak USTJ ada masa tujuh hari untuk menyelesaikan satu-satu siasatan 3R itu sebelum diserahkan kepada peguam negara.

Saifuddin Nasution berkata peringatan tegas diberikan berulang kali sama ada oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Razarudin supaya isu berkenaan 3R itu tidak wajar sama sekali disentuh tetapi menteri besar Kedah itu masih memainkan isu berkenaan yang disifatkan beliau sudah sampai ke tahap yang berbahaya.

Katanya, dalam politik boleh berbeza pendapat dan aliran tetapi peringatan sudah diberi berulang kali sama ada oleh perdana menteri atau ketua polis negara yang mana soal 3R tidak boleh dimainkan atau disentuh.

“Laporan akhir (kes terkini berkaitan isu 3R melibatkan Sanusi) menjadi signifikan perlunya tindakan tegas diambil, jika tidak kesannya sangat besar. Tidak ada lagi rasa hormat kepada Institusi Raja-Raja Melayu seperti mana peranan mereka diiktiraf di dalam Perlembagaan.

“Institusi Raja-Raja Melayu ini dihina orang Melayu sendiri, ini sudah sampai ke tahap yang berbahaya kerana sekarang ini kita tengok kesan yang besar apabila pemimpin politik memainkan isu 3R, tiada lagi rasa hormat pada Institusi Raja-Raja Melayu yang sangat dihormati, sebagaimana yang diiktiraf dalam perlembagaan negara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata beliau percaya sebahagian besar rakyat tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang menyentuh mengenai isu 3R.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya meletakkan kepercayaan penuh kepada kebijaksanaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diterajui Razarudin untuk mengambil tindakan yang sesuai dengan undang-undang negara dalam mendepani cabaran termasuk  menguruskan isu berkaitan 3R.

“Saya tahu cabaran pasukan keselamatan ini semakin berat dengan tugas hakiki KDN (Kementerian Dalam Negeri) iaitu dalam soal memastikan keselamatan negara.

“Sebab itu, saya sentiasa memberi dukungan yang kuat dan meletakkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kebijaksanaan yang ada pada teraju utama iaitu KPN dan seluruh pimpinan utama (dalam menangani isu berkaitan 3R),” katanya. – Bernama, 15 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen