LIMA ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi diraja Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
Mereka terdiri daripada Ambrin Buang, Mohd Zawawi Salleh, Mohammed Khusrin Munawi, Mohamad Adzib Mohd Isa dan Emran Kadir membuat laporan tersebut di Balai Polis Seksyen 6 di Shah Alam hari ini.
Mereka juga menuntut Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tersebut dengan kadar segera.
Emran berkata kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu disifatkan satu penghinaan kepada institusi diraja Selangor kerana melibatkan pelantikan Menteri Besar (MB) Selangor Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.
“Tuanku (Sultan Selangor) boleh melantik siapa sahaja untuk menjadi MB Selangor, asalkan pemimpin berkenaan mendapat majoriti (termaktub) segi (dalam) perlembagaan. Tuanku telah melantik (individu yang) tepat dan tidak patut dipersoalkan.
“Kenyataan (Muhammad Sanusi) seperti MB yang dilantik tidak betul (layak), ini kami anggap kenyataan yang tidak wajar dan menghina institusi diraja Selangor. Kami tuntut permohonan maaf secara terbuka secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran PN didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Amirudin. – Bernama, 14 Julai, 2023.
Komen