Australia usir 2 diplomat Rusia susulan kes agen saraf di Britain


Tindakan Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull mengusir diplomat Rusia sebagai bantahan penggunaan agen saraf yang disifatkan menimbulkan ancaman membimbangkan kepada keselamatan antarabangsa. – Gambar EPA, 27 Mac, 2018.

AUSTRALIA menyertai Amerika Syarikat (AS) dan sekutu British yang lain dengan mengusir dua diplomat Rusia pada Selasa sebagai tindak balas terhadap serangan agen saraf terhadap bekas perisik negara itu di England.

Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata kedua-duanya adalah “pegawai perisik yang tidak diisytiharkan” dan mempunyai tujuh hari untuk meninggalkan negara itu.

“Keputusan ini mencerminkan sifat serangan yang mengejutkan itu, serangan senjata kimia pertama di Eropah sejak Perang Dunia II, yang membabitkan bahan membawa maut di kawasan penduduk, membahayakan ahli masyarakat yang lain,” katanya.

Turnbull berkata keputusan itu susulan maklumat dari London yang bahan digunakan dalam serangan 4 Mac terhadap Sergei Skripal dan anaknya di Salisbury sebagai agen saraf tentera yang dibangunkan oleh Rusia.

Beliau menyebutnya sebagai sebahagian daripada “corak perilaku yang melulu dan sengaja oleh Rusia yang menimbulkan ancaman semakin meningkat terhadap keselamatan antarabangsa”.

“Serangan seperti ini tidak boleh diterima oleh mana-mana negara berdaulat,” katanya.

“Kami sangat menyokong gesaan kepada Rusia untuk mendedahkan sejauh mana program senjata kimianya mengikut undang-undang antarabangsa.”

Tindak balas Canberra ini ekoran keputusan Washington memerintahkan 60 warga Rusia keluar dari negara itu.

Tindakan pengusiran itu turut dilakukan Kanada, Ukraine, Albania dan kebanyakan negara Kesatuan Eropah, selepas Britain menggesa sekutu untuk bertindak balas terhadap keracunan tersebut.

Rusia menafikan bertanggungjawab terhadap cubaan pembunuhan itu, yang menyebabkan Skripal dan anaknya tenat yang mungkin merupakan serangan agen saraf pertama di Eropah sejak Perang Dunia II. – AFP, 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen