Kes rasuah, Singapura keluar notis tangkap terhadap jutawan


Taikun hotel Ong Beng Seng dikenakan notis tangkap susulan siasatan kes rasuah berprofil tinggi yang jarang berlaku di Singapura. – Gambar Facebook, 14 Julai, 2023.

AGENSI pencegahan rasuah Singapura mengeluarkan notis tangkap terhadap salah seorang individu terkaya di republik itu, menurut kenyataan dikeluarkan syarikatnya, sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah peringkat tertinggi yang jarang berlaku.

Taikun hotel Ong Beng Seng dikenakan notis tangkapan dan membayar wang ikat jamin, kata Hotel Properties Limited dalam satu kenyataan kepada Bursa Singapura.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengarahkan jutawan itu untuk memberikan maklumat berkaitan interaksinya dengan Menteri Pengangkutan S Iswaran, kata syarikat itu.

Iswaran pada awal minggu ini diarahkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk bercuti sehingga siasatan selesai.

Lee berkata agensi anti rasuah sudah mendapatkan kebenarannya untuk melakukan siasatan rasmi yang akan membabitkan menemu bual Iswaran, serta beberapa individu lain.

CPIB berkata ia tidak dapat mendedahkan butiran siasatan yang sedang berlangsung.

Ong yang juga pengarah urusan Hotel Properties Limited dikatakan membayar wang jaminan sebanyak AS$76,000.

HPL pula memiliki Hotel dan Resort Four Seasons di Singapura selain hartanah di Kanada, Australia, Britain serta Amerika Syarikat (AS) dan menjadi sebahagian konsortium, bersama syarikat pelaburan kerajaan, Temasek, yang pada Mei 2022 membeli aset Singapore Press Holdings.

Ong, yang juga rakyat Malaysia tetapi mempunyai status penduduk tetap Singapura, antara individu yang bertanggungjawab membawa Formula One Grand Prix ke Singapura pada 2008.

Syarikatnya Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura tahun lalu memperbaharui kontrak penganjuran perlumbaan F1 hingga 2028.

“Ong memberi kerjasama penuh kepada CPIB dan memberikan maklumat yang diminta,” kata syarikat itu.

Katanya, tiada pertuduhanan dikenakan terhadap Ong, yang juga disenaraikan Forbes bersama isterinya sebagai individu ke-24 terkaya di Singapura tahun lalu. – AFP, 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen