Diplomat EU bantah peranan Myanmar sebagai penyelaras hubungan Asean-EU 


EU adalah satu daripada banyak negara dan organisasi yang mengenakan sekatan ke atas kerajaan tentera Myanmar.– Gambar EPA, 14 Julai, 2023.

DIPLOMAT tertinggi Kesatuan Eropah pada Khamis melahirkan kebimbangan terhadap potensi peranan Myanmar sebagai penyelaras hubungan antara blok 27 negara dan negara Asia Tenggara, dengan menyifatkan EU tidak mengiktiraf junta tentera yang merampas kuasa pada 2021.

Wakil tinggi EU untuk hal ehwal luar, Josep Borrell membangkitkan isu itu pada pertemuan dengan menteri-menteri luar Asean di Jakarta.

Beliau turut menghadiri beberapa siri mesyuarat untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan, keselamatan dan isu-isu lain.

“Kami berdepan cabaran berkaitan dengan potensi Myanmar memegang peranan sebagai penyelaras Asean untuk hubungan dengan Kesatuan Eropah.

“Kami tidak mengiktiraf junta tentera dan percaya anda akan mencari penyelesaian untuk mengatasi isu ini,” kata Borrell kepada rakan sejawatannya.

EU adalah satu daripada banyak negara dan organisasi yang mengenakan sekatan ke atas kerajaan tentera Myanmar dan menuntut keganasan dihentikan serta-merta selain pembebasan pemimpin awam yang ditahan, termasuk Aung San Suu Kyi.

Di bawah sistem Asean, seorang daripada anggotanya bertanggungjawab menguruskan hubungan dengan setiap kuasa dunia yang mempunyai hubungan dengan persatuan itu termasuk EU, untuk tempoh tiga tahun.

Filipina kini bertanggungjawab dalam hubungan Asean-EU dan bersedia untuk menyerahkan peranan itu kepada Myanmar tahun depan.

EU ialah rakan dagangan ketiga terbesar Asean dan sumber pelaburan asing ketiga terbesar. – Bernama, 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen