Pengarah JSJ disiasat di Australia disambung jawatan setahun lagi


Muzliza Mustafa

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Ahmad Najmuddin Mohd sepatutnya bersara pada tahun ini tetapi difahamkan perkhidmatannya dilanjutkan bagi tempoh setahun lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Wan Ahmad Najmuddin Mohd akan terus memegang jawatannya untuk tempoh setahun lagi selepas dilanjutkan sebelum terbongkar berita pihak berkuasa Australia merampas A$320,000 (RM960,000) dalam bank akaunnya berhubung urus niaga mencurigakan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight keputusan menyambung perkhidmatan Wan Ahmad, yang sepatutnya bersara tahun ini, dibuat sebelum akhbar Sydney  Morning Herald (SMH) melaporkan pada 2 Mac lepas yang Polis Persekutuan Australia (AFP) menyita wang daripada akaun banknya.

SMH melaporkan pihak berkuasa Australia mengesyaki wang berkenaan ada kaitan dengan aktiviti pencucian wang haram atau datang daripada hasil jenayah.

Pada hari laporan SMH itu terbit, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mempertahankan pengarah JSJ itu dengan berkata satu siasatan dalaman sudah dibuat dan Wan Ahmad didapati tidak terlibat dengan sebarang salah laku.

Ketua polis negara juga berkata wang berkenaan adalah hasil jualan rumah Wan Ahmad di Shah Alam. Rumah itu dijual pada harga RM700,000 (A$260,770).

Fuzi juga berkata Wan Ahmad tidak akan menuntut wang yang disita kerana kos guamannya terlalu tinggi.

The Malaysian Insight difahamkan Wan Ahmad bukanlah satu-satunya pegawai kanan polis yang disambung perkhidmatannya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim, yang dijadual bersara pada 17 Mac lepas juga dilanjutkan tempoh perkhidmatannya untuk setahun lagi.

Wan Ahmad sementara itu enggan bercakap dengan wartawan sejak berita mengenai penyitaan wang dalam akaun banknya tersiar. Usaha The Malaysian Insight untuk mendapatkan komen beliau juga tidak diendahkan.

Seorang jurucakap Polis Persekutuan Australia memberitahu The Malaysian Insight siasatan mereka adalah terhadap pemindahan wang ke dalam akaun bank Wan Ahmad di Sydney.

Pegawai itu berkata siasatan kes di bawah Akta Anti Penggubahan Wang itu selesai pada 2017, dengan mahkamah mengeluarkan perintah wang berkenaan disita.

Menurut laporan Wan Ahmad membuka akaun “Goal Saver” dengan Commonwealth Bank pada 2011, dengan alamat di Bankstown dan kemudian di Glebe di Sydney.

Sejak 2001, Wan Ahmad berkunjung ke Australia sebanyak sembilan kali, atas visa pelancong, kebiasaannya tidak sampai seminggu dan kadang kala dengan membawa wang tunai yang banyak.

Dalam tiga kunjungan antara 2011 dan 2012, beliau mengisytiharkan A$112,000 (RM338,357) kepada pihak kastam Australia.

Beliau membuka akaun banknya dalam salah satu kunjungan itu menggunakan namanya sendiri di Commonwealth Bank cawangan Haymarket di kawasan pusat perniagaan di Sydney. Wang berkenaan dikatakan bagi tujuan anaknya yang melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan.

Pada Disember 2012, sehari selepas tiba di Australia, sejumlah A$30,000 (RM90,631) dimasukkan ke akaun itu dari beberapa lokasi berbeza iaitu  Merrylands, Ryde, Strathfield dan Burwood. Sejumlah A$8,000 pula dikeluarkan di Haymarket.

Urus niaga itu tidak terhenti setakat itu. Selepas beberapa tahun tidak aktif, akaun itu kembali menerima wang masuk pada 2016.

Kali ini, wang berkenaan dimasukkan dari lima negeri di negara itu – dari Biloela di Queensland sampailah ke Devonport di utara Tasmania dan Lakemba di Sydney serta Melbourne, enam hari selepas Wan Ahmad melawat Australia pada September 2016.

Ada 54 urus niaga, setiap simpanan di bawah had A$10,000 (RM30,210). Sebarang urus niaga melebihi had berkenaan akan menarik perhatian pihak berkuasa Australia.

Dalam tempoh sebulan, simpanan yang dimasukkan ke akaun Wan Ahmad berjumlah A$290,000 (RM875,961), yang dikatakan bagi tujuan anak perempuannya yang mengikuti program sarjana.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap Wan Ahmad selepas seseorang yang tidak dinamakan membuat laporan kepada badan anti rasuah itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Azam Baki yang mengesahkan siasatan berkenaan turut memaklumkan individu berkenaan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen