SPRM tangkap 7 anggota sindiket tipu duti kereta mewah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Seramai tujuh orang ditahan berkaitan sindiket yang menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta. – Gambar SPRM, 14 Julai, 2023.

AGENSI antirasuah membongkar kegiatan satu sindiket yang menggunakan dokumen dengan maklumat palsu bagi menipu penilaian duti kastam bagi kereta mewah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, seramai tujuh orang ditahan berkaitan sindiket yang menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.

“Dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM, beberapa serbuan dijalankan di premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah dan tujuh individu yang mendalangi sindiket itu turut ditahan.

“Semua suspek lelaki berusia 30 hingga hingga 60an itu telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Susulan penahanan itu, katanya, Majistret Nurshahida Abdul Rahim membenarkan semua suspek direman selama 4 hari sehingga 17 Julai setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Menurut sumber, suspek adalah ejen kastam yang bersubahat bersama pemilik kereta mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu untuk mengurangkan duti kereta mewah sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.

“Setakat ini, sindiket dikesan sudah melakukan penipuan itu untuk lima buah kereta mewah pelbagai model,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen