Pelakon Hollywood sertai mogok penulis skrip, banyak produksi terhenti


Mogok oleh Sceen Actors Guild-American Federation of Television and Radio Artists yang merupakan penutupan pertama Hollywood dalam tempoh 63 tahun, bermula pada tengah malam. – Gambar Facebook, 14 Julai, 2023.

KESATUAN yang mewakili pelakon Hollywood secara rasmi mengumumkan mogok pada Khamis dan menyertai lebih 11,000 penulis skrip filem dan televisyen, berhubung gaji, penggunaan kecerdasan buatan dan keuntungan penstriman digital.

Mogok oleh Sceen Actors Guild-American Federation of Television and Radio Artists (SAG-AFTRA) itu yang merupakan penutupan pertama Hollywood dalam tempoh 63 tahun, bermula pada tengah malam, lapor Agensi Anadolu.

Mogok itu berlaku ekoran kegagalan SAG-AFTRA mencapai persetujuan dengan Alliance of Motion Picture and Television Producers.

Isu yang dirundingkan antara lain melibatkan penambahbaikan gaji, keadaan bekerja serta penggunaan kecerdasan buatan dalam produksi masa depan. Kesatuan itu juga menuntut ketelusan tentang cara pembahagian keuntungan penstriman digital.

Writers Guild of America (WGA), kesatuan yang mewakili 11,500 penulis filem dan televisyen, melancarkan mogok pada 2 Mei, memaksa banyak siri penerbitan rancangan dan filem dihentikan.

Kebanyakan produksi filem dan televisyen Hollywood dijangka terganggu oleh mogok itu. – Bernama, 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen