Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS


Berbanding mata wang Asean, ringgit turut diniagakan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai 2023.

INDEKS harga pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) bulan Jun yang lebih rendah mendorong nilai ringgit untuk terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga pagi ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.5425/5480 berbanding dolar AS daripada 4.5800/5845 pada penutupan Khamis.

IHPR AS lebih rendah daripada jangkaan iaitu 0.1% tahun ke tahun pada Jun 2023 berbanding anggaran konsensus 0.4%, manakala IHPR  teras ialah 2.4% pada bulan Jun berbanding anggaran konsensus 2.6%.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS kekal dalam mod lemah dengan indeks dolar AS (DXY) berlegar di bawah 100 mata.

“Pada masa yang sama, eksport China merosot dengan ketara daripada jangkaan kepada -12.4% tahun ke tahun berbanding jangkaan -9.5% dan import turun kepada -6.8% berbanding anggaran konsensus -4.0%,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau menambah ringgit akan terus mengukuh.

“Paras sokongan serta-merta kini berada pada RM4.5491 dan sekiranya USD/MYR menembusi paras sedemikian, paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.4872,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan meningat berbanding yen Jepun kepada 3.2998/3040 daripada 3.3069/3103 pada penutupan Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 5.0976/1038 daripada 5.1168/1218 semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.9593/5.9665 daripada 5.9861/9919 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean, ringgit turut diniagakan tinggi.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4374/4421 daripada penutupan dagangan Khamis 3.4553/4590 serta mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/304.0 daripada 305.9/306.4 sebelumnya.

Ringgit turut menambah nilai berbanding baht Thai kepada 13.1362/1578 daripada 13.2481/2673 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.36 daripada 8.40/8.41 sebelumnya. – Bernama, 14 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen