Perikatan eskploitasi isu 3R, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Penganalisis berkata PN guna isu 3R pada PRU15 dan ia memberi kesan maksimum kepada pakatan itu dan berjaya menarik pengundi Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2023.

GUNA isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja adalah cara yang hampir pasti untuk Perikatan Nasional (PN) memenangi sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata penganalisis.

Mereka berkata PN tahu strategi itu terbukti berkesan kerana mereka memperoleh sokongan besar daripada orang Melayu pada pilihan raya umum (PRU) November lalu.

Kempen 3R bukan saja berkesan untuk menawan undi Melayu di pantai timur tetapi di tempat lain di negara ini, kata mereka.

“Mereka dapat kesan maksimum pada PRU15. Sentimen itu bukan saja untuk rakyat di kawasan luar bandar di Kelantan atau Terengganu tetapi di seluruh negara kerana ia adalah emosi.

“Mereka dapat cetuskan emosi Melayu, ini apa yang kita panggil psikografik Melayu,” kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar.

“Tetapi ia akan dapat dibendung jika polis, SKMM, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa berkenaan yang lain memainkan peranan dalam mengekang penularan maklumat berkaitan 3R.

“Jika ia dapat dilakukan, saya fikir PN bakal berdepan halangan untuk melawan kerajaan perpaduan,” katanya.

Dua minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Polis Negara yang baru dilantik Razarudin Husain dan timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay akan menangani isu berkaitan 3R, terutama menjelang PRN di enam negeri pada 12 Ogos.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga mengeluarkan amaran keras terhadap semua parti supaya tidak menyebarkan sentimen yang menyentuh isu 3R sepanjang PRN.

Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran akhir kepada semua parti untuk tidak mengeksploitasi isu menyentuh berkenaan kaum, agama dan institusi diraja yang boleh memecahbelahkan negara.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis akan memantau situasi itu tanpa pengecualian.

Kurang naratif balas

Sementara itu, Pengarah Program Imam Research Badrul Hisham Ismail berkata isu berkaitan 3R berleluasa kerana tiada naratif balas disediakan oleh kerajaan perpaduan.

Beliau berkata jika ahli politik daripada kerajaan perpaduan boleh menyediakan naratif alternatif, perkara itu akan dapat dibendung.

“Adakah memainkan isu 3R beri faedah kepada PN? Jawapannya ya dan tidak. Mereka yang percaya isu ini akan terima.

“Ia adalah isu meliputi semua negeri, bukan saja di pantai timur. Kerajaan perpaduan perlu tampil dengan pendekatan berbeza tentang bagaimana hendak mengendalikan naratif ini.

“Pihak berkuasa boleh memantau dan ambil tindakan, tetapi ia tidak akan dapat mengubah persepsi. Ingat, isu 3R berkait rapat dengan ekonomi.

“Mereka yang percaya isu itu mungkin terfikir yang mereka akan hilang kehidupan dan sumber pendapatan. Penjelasan daripada kerajaan perpaduan sangat diperlukan dalam hal ini,” katanya.

Di luar kawalan

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berharap parti dalam PN akan dapat menggunakan pendekatan berbeza dalam kempen kali ini.

Mengakui keberkesanan isu 3R, beliau berkata PN akan dapat kelebihan jika ia menggunakan taktik itu, terutama di pantai timur dan utara seperti Kedah.

“Ia sangat berkesan di Kelantan dan Terengganu kerana apabila ia berkaitan dengan agama, orang akan terasa dan jadi emosional.

“PN akan dapat kelebihan daripadanya tetapi saya berharap mereka tidak akan sentuh 3R sebagai alat kempen dan sebaliknya guna isu lain seperti kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi.

“Tetapi bila kita cakap tentang 3R, bukan orang Melayu saja terkesan. Cina dan India juga akan terasa panasnya, dan jika ia tidak dikawal dan dipantau, keadaan boleh jadi di luar kawalan dan kita tidak mahu ia berlaku seperti itu,” katanya. – 14 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen