PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden sedang mengadakan lawatan ke Finland, anggota baharu NATO semasa perjalanan pulangnya ke AS dari sidang kemuncak perikatan itu di Lithuania, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden Finland Sauli Niinisto akan menyambut Biden di Istana Presiden di Helsinki pada tengah hari tadi untuk mesyuarat dua hala.
Selepas itu, satu sidang kemuncak mini bersama ketua kerajaan negara Nordik yang lain – Denmark, Norway, Sweden dan Iceland – dirancang.
Topik utama ialah kerjasama yang lebih erat antara negara Nordik dan AS dalam bidang keselamatan, perlindungan alam sekitar dan teknologi. Lawatan Biden ke ibu negara Finland berakhir pada sebelah malam dengan sidang media bersama Niinisto.
Finland menjadi anggota rasmi NATO sejak awal April. Negara jirannya Sweden akan menyertai pakatan pertahanan itu tidak lama lagi selepas Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memutuskan minggu ini untuk berhenti menyekat penyertaannya.
Russia dan Finland mempunyai sempadan sepanjang kira-kira 1,340 kilometer dan setakat ini merupakan sempadan terbesar dalam kalangan semua negara EU.
Sempadan luar NATO dengan Russia meningkat lebih daripada dua kali ganda akibat penyertaan Finland. Pada titik terdekatnya, sempadan itu hanya kira-kira dua jam pemanduan dari Helsinki – tetapi Biden tidak akan melawat kawasan itu semasa kunjungannya. – Bernama, 13 Julai, 2023.
Komen