Perikatan digesa minta maaf kerana hina Sultan Selangor, kata setiausaha politik MB


Alfian Z.M. Tahir

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli menyifatkan ucapan MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu ceramah sebagai biadab dan tidak wajar. – Gambar Facebook, 13 Julai, 2023.

PERIKATAN Nasional harus meminta maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didapati mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Juwairiya Zulkifli.

Juwairiya menyifatkan ucapan Sanusi dalam satu ceramah di Selayang, Selangor sebagai tindakan biadab dan tidak wajar.

“Saya menggesa agar Perikatan Nasional mengeluarkan permohonan maaf dengan serta-merta dan tidak lagi mengaitkan Sultan Selangor dalam kempen pilihan raya dan ceramah politik. Institusi diraja adalah berdaulat dan tidak seharusnya dilemparkan dengan tuduhan tidak berasas demi meraih sokongan.

“Malah Sultan Selangor bertitah pada 19 Jun 2023 mengingatkan agar parti politik tidak memainkan isu agama, kaum dan isu sensitif lain yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan kelak.

“Tindakan biadab dan celupar yang ditampilkan oleh Perikatan Nasional dan Sanusi Mohd Nor tiada tempat di bumi Selangor,” katanya.

Dalam ceramah semalam, Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan biadab terhadap institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.

Dalam video yang tular, Sanusi mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor selain turut meremehkan pelantikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor.

Terdahulu beberapa ahli PKR membuat laporan polis terhadap Sanusi berhubung kenyataannya itu.

Ketua Penerangan PKR Shah Alam Suryamuizzudin Kamarudin menuduh Sanusi mengabaikan kuasa dan prerogatif sultan dalam pelantikan menteri besar.

Timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi juga menasihatkan Sanusi untuk bertaubat atas kenyataannya.

“Politik bukan main-main… Saya harap dia insaf kerana tidak semuanya perlu dijadikan bahan kempen, kerana ia boleh merugikan dirinya sendiri,” kata presiden Umno itu.

Sementara itu Ketua Polis Negara Razarudin Hussain mengesahkan polis sedang menyiasat Sanusi berhubung kenyataannya itu. – 13 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen