Menteri harap subsidi tiket penerbangan mahasiswa diberi secara tahunan


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berharap bantuan subsidi tiket penerbangan RM300 untuk pelajar universiti awam dapat dijadikan sebagai bantuan secara tahunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2023.

MENTERI Pengangkutan Anthony Loke berharap inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk pelajar universiti awam dapat dijadikan sebagai bantuan secara tahunan bagi meringankan beban kewangan golongan tersebut.

Beliau berkata inisiatif yang diumumkannya semalam adalah usaha rintis yang dilaksanakan kementeriannya yang tidak diperuntukkan dalam Belanjawan 2023, sebaliknya  adalah hasil kecekapan pengurusan kewangan dengan menggunakan dana daripada peruntukan yang tidak diguna pakai.

“Inisiatif ini adalah satu pindahan peruntukan yang kita tak perlu untuk tahun ini dan kita tidak kembalikan kepada Kementerian Kewangan sebaliknya dipindah untuk digunakan bagi pelaksanaan inisiatif baharu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bas Berkapasiti Tinggi milik Konsortium E-Mutiara Bhd hari ini.

“Jadi ada satu peruntukan bagi perbicaraan kes MH17 sebanyak lebih kurang RM15 juta, tapi perbicaraan itu telah selesai, dan wang itu kami pindahkan untuk satu inisiatif baharu iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan,” katanya.

Namun katanya beliau memberitahu jemaah menteri, apabila kerajaan memulakan sesuatu inisiatif, sudah pastinya rakyat mengharapkan ia tidak dilaksanakan secara sekali beri sahaja, tetapi perlu dibuat secara tahunan.

Justeru beliau mengharapkan agar inisiatif tersebut dapat diteruskan untuk tahun akan datang dengan kelulusan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

Semalam, Loke memperkenalkan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk mahasiswa universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan yang akan bermula 15 Ogos ini.

Beliau berkata ia akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik. – Bernama, 13 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen